KUALA LUMPUR - Majoriti pelarian etnik Rohingya yang selesai proses dokumentasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini menggunakan khidmat e-hailing untuk pergerakan ke destinasi pilihan di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, destinasi pilihan pelarian itu adalah berdasarkan kenalan dan saudara-mara mereka di destinasi terbabit.
"Pecahan penempatan pelarian ialah 66 di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (18 orang), Selangor (29 orang) dengan jumlah keseluruhan 113 orang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Fadil berkata, pada jam 12.01 tengah malam hingga 4.30 petang, Selasa, Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah menjalankan proses dokumentasi ke atas komuniti pelarian etnik Rohingya di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur.
Katanya, tujuh orang wakil Malaysian Relief Angensy (MRA) telah hadir memberi sumbangan makanan tengah hari dan bantuan semakan kesihatan ke atas pelarian tersebut.
"Jumlah pelarian yang terlibat ialah seramai 113 orang.
"Seramai 109 orang pelarian Rohingya bersama seorang Indonesia merupakan isteri kepada Ketua Komuniti Rohingya, seorang pelarian Iraq dan seorang pelarian Somalia telah dipindahkan keluar ke destinasi yang telah ditetapkan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Diusir dari Kampung Kuala Muda, etnik Rohingya 'serbu' pejabat UNHCR
Ratusan pelarian Rohingya berhimpun di hadapan UNHCR dipindahkan ke IPK KL - Polis
Rohingya dihalau, adakah empati rakyat Malaysia sudah habis?
Persaingan ekonomi, tapak penempatan penuh punca 121 warga Rohingya berpindah - Polis
Pelarian Rohingya miliki dokumen UNHCR sah - Ketua Polis KL
Tambahnya, proses telah dimulakan dengan pengecaman semula pemilik dokumen dan mereka dilepaskan secara bergilir melalui Pintu Utama IPK Kuala Lumpur.
Sinar Harian melaporkan kesemua mereka telah berkumpul di hadapan Pejabat UNHCR Kuala Lumpur sejak awal pagi Isnin selepas diusir dari Kampung Kuala Muda, Penaga di Pulau Pinang.
Kesemua pelarian itu datang menaiki tiga buah bas dan bertolak dari kampung terbabit kira-kira jam 10 malam, Ahad.
Kesemua warga asing itu kemudian telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.
Tindakan dokumentasi ke atas pelarian telah dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) IPK Kuala Lumpur bersama wakil UNHCR.
Hasil dari proses dokumentasi yang dijalankan terhadap etnik rohingya di perkarangan IPK Kuala lumpur mendapati kesemua etnik terbabit mempunyai dokumen UNHCR yang sah.