Shafie Apdal dipenjara lima minggu, hukuman tangguh hingga selesai rayuan

Iklan
Mohd Shafie

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dijatuhkan hukuman penjara selama lima minggu selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataan yang dibuatnya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Hukuman terhadap Presiden Parti Warisan itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, pada prosiding yang berlangsung pada Rabu.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues kematian Zara Qairina: Prosiding hina mahkamah melibatkan Shafie Apdal diteruskan

Zara Qairina: Kes hina mahkamah Shafie Apdal didengar 3 Februari, Mona Din didenda RM300

Iklan

Kes Zara Qairina: Shafie Apdal hadiri prosiding komital hina mahkamah

Penangguhan itu menyebabkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang tidak terlaksana serta merta sehingga rayuan tersebut diputuskan.

Iklan

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli parlimen boleh hilang kelayakan jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000, tertakluk kepada peruntukan yang berkaitan.

Bagaimanapun, mahkamah dalam kes ini hanya menjatuhkan hukuman kurang daripada satu tahun dan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Shafie, 68, disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah mengikut Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Perenggan 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948.

Dalam penghakimannya, Amir Shah berkata, mahkamah telah memainkan rakaman video berkenaan dan mendengar sendiri keseluruhan ucapan responden di mahkamah terbuka sebelum membuat keputusan.

"Setelah menilai sendiri rakaman penuh dan konteksnya, mahkamah mendapati kenyataan di luar mahkamah yang dibuat oleh responden tidak boleh dilindungi atas alasan kebebasan bersuara.

"Ucapan itu bukan sahaja mendahului keputusan mahkamah apabila mengisytiharkan bahawa ia adalah kes bunuh sebelum inkues diselesaikan, malah turut menjejaskan integriti dan kewibawaan pentadbiran keadilan.

"Ringkasnya, ia merupakan satu penghinaan serius terhadap mahkamah," katanya.

Menurut Amir Shah, sama ada Koroner dipengaruhi oleh kenyataan responden bukanlah isu yang material atau relevan kerana persoalan utama ialah tindakan responden mengeluarkan kenyataan tersebut kepada umum ketika prosiding inkues masih berjalan.

Beliau berkata, responden mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa tujuan inkues adalah untuk menentukan, antara lain, bagaimana si mati menemui ajalnya, selain memberi ruang kepada saksi-saksi berkaitan tampil memberikan keterangan.

Katanya, mahkamah juga berpuas hati bahawa Peguam Negara selaku pemohon berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa responden mengeluarkan kenyataan itu pada 20 September 2025 ketika prosiding inkues masih aktif.

Menurutnya, kenyataan 'kanak-kanak ini dibunuh' telah membuat kesimpulan awal terhadap isu utama yang sedang diputuskan dalam inkues, manakala kenyataan 'konon mahkamah siasat... ke mana keadilan ini?' pula berpotensi mencemarkan proses kehakiman.

"Kenyataan itu mewujudkan risiko sebenar dan ketara untuk mengganggu pentadbiran keadilan serta menghakis keyakinan awam, khususnya terhadap badan kehakiman.

"Responden juga gagal membersihkan penghinaan terhadap mahkamah apabila membiarkan penerbitan yang mengandungi kenyataan tersebut terus boleh diakses oleh orang ramai," katanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar manakala Mohd Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil dan Chen Ket Chuin.

Untuk rekod, Peguam Negara memfailkan Notis Permohonan Ex Parte bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital pada 19 Oktober 2025 sebelum permohonan itu dibenarkan mahkamah pada 23 Oktober tahun yang sama.

Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.

Inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina bermula pada 3 September 2025 dan ketika ini masih lagi berlangsung.