Kontraktor ditahan disyaki amang seksual anak perempuan 4 tahun

Iklan
Seorang kontraktor tempatan ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya dalam kejadian di daerah ini pada malam Isnin - Foto hiasan

TAWAU - Seorang kontraktor tempatan ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya dalam kejadian di daerah ini pada malam Isnin.

Perbuatan lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar selepas mangsa berusia empat tahun dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan susulan aduan bahawa bahagian sulitnya disentuh.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang.

"Siasatan awal mendapati ibu mangsa membawanya ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau selepas menerima aduan bahagian sulitnya telah disentuh oleh bapanya sebelum kes itu dilaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan.

"Hasil siasatan lanjut berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan di perkarangan hospital kira-kira jam 10.50 malam pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan lanjut daripada suspek," katanya.

Sementara itu, Wilynton turut merakamkan penghargaan kepada petugas hospital berkenaan atas keprihatinan, tindakan pantas dan profesionalisme dalam mengesan serta melaporkan kes itu kepada polis.

"Tindakan segera itu membolehkan siasatan dijalankan tanpa berlengah, sekali gus memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan mangsa terus diutamakan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Orang ramai turut diseru supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis atau pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk penderaan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak agar tindakan segera dapat diambil demi melindungi golongan berkenaan," katanya.