Mayat bayi tidak cukup sifat ditemukan berhampiran rumah

Iklan
Pasukan polis hadir ke lokasi sebaik menerima laporan daripada penduduk kampung.

PENAMPANG - Penduduk Kampung Goliga Kolopis di sini dikejutkan dengan penemuan mayat bayi tidak cukup sifat berhampiran sebuah rumah pada Selasa.

Mayat bayi berkenaan ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 11.52 pagi sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, sepasukan pegawai bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

"Hasil siasatan awal mendapati mayat bayi dipercayai tidak cukup sifat itu ditemukan di kawasan berhampiran rumah pengadu.

Iklan

"Pasukan forensik bersama Unit K9 kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, mayat bayi berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi tujuan bedah siasat.

Iklan

Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengesan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

"Pihak polis sedang giat mengesan individu bertanggungjawab serta mengenal pasti punca kejadian bagi membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang bayi tersebut secara sulit. Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sehubungan itu, Sammy meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan  kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di 013-6365734 atau hadir ke balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga diharap tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan," katanya.