JAGUH angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin menyifatkan kejayaan memenangi pingat emas ketiga berturut-turut di Sukan Komanwel sebagai detik paling membanggakan dalam kariernya selepas melakar sejarah tersendiri pada edisi Glasgow 2026.
Muhamad Aznil berkata, hatrik emas itu sudah lama diimpikannya, dengan kejayaan dalam kategori 65 kilogram (kg) lelaki di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo di sini pada Ahad, menyaksikan beliau muncul sebagai atlet angkat berat pertama negara memenangi emas dalam tiga edisi berturut-turut.
Atlet berusia 32 tahun itu memenangi kategori 62kg pada edisi Gold Coast 2018, sebelum merangkul emas dalam kategori 61kg di Birmingham 2022, sekali gus mengatasi rekod bekas badang negara Amirul Hamizan Ibrahim yang meraih emas pada edisi Manchester 2002 dan Delhi 2010.
"Saya rasa sangat bangga sebab dapat buat hatrik seperti yang saya impikan. Alhamdulillah, impian itu akhirnya tercapai. Insya-ALLAH, selepas ini fokus saya ialah membuat persediaan menghadapi Sukan Asia dan kelayakan Sukan Olimpik (Los Angeles 2028),” katanya.
Dalam saingan 65kg, Muhamad Aznil turut memperbaharui tiga rekod temasya menerusi angkatan 133kg dalam snatch, 166kg dalam clean and jerk serta jumlah keseluruhan 299kg.
Beliau bukan sahaja mencipta tiga rekod temasya, malah memperbaharui setiap rekod itu sebanyak dua kali sepanjang saingan.
Pingat perak menjadi milik atlet India Raja Muthupandi selepas merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 286kg, manakala Morea Baru dari Papua New Guinea meraih gangsa dengan catatan 282kg.
Sementara itu, mengulas strategi penetapan beban angkatan, Muhamad Aznil mengakui memilih pendekatan lebih selamat bagi memastikan emas berada dalam genggaman sebelum mencuba angkatan lebih tinggi.
"Untuk rekod temasya, saya rasa tadi kami pilih angkatan yang lebih selamat. Sebab jurang dengan pencabar sudah agak jauh, jadi fokus utama ialah memastikan clean and jerk berjaya dan pingat emas dapat dipastikan terlebih dahulu,” katanya.
Rekod peribadi terbaik Muhamad Aznil ialah 306kg iaitu 133kg dalam snatch dan 173kg dalam clean and jerk - yang dilakar pada Sukan SEA Thailand tahun lepas.
Dalam pada itu, ditanya apa yang bermain di fikirannya ketika berada di atas platform pertandingan, Muhamad Aznil berkata fokusnya ialah memberikan persembahan terbaik untuk meraih emas.
Kejayaan Muhamad Aznil hadir beberapa jam selepas rakan sepasukan Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan emas pertama Malaysia menerusi kategori 60kg lelaki, sekali gus menjadikan angkat berat penyumbang utama kejayaan kontinjen negara pada hari ketiga temasya.
Terdahulu, atlet muda Irene Jane Henry turut menyumbang pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita pada penampilan Sukan Komanwel sulungnya.
Malaysia setakat ini mengumpul dua pingat emas dan dua gangsa, dengan satu lagi pingat gangsa disumbangkan jaguh powerlifting para negara Bonnie Bunyau Gustin dalam kategori lightweight lelaki. - Bernama