Perenang 13 tahun pahat rekod Sukan Asia

Iklan
Zidi (tengah) mencipta rekod Sukan Asia selepas meraih emas acara 200m kuak kupu-kupu wanita di Jepun pada Ahad. Foto: AFP.

PERENANG sensasi China, Yu Zidi, terus mencuri tumpuan apabila mencipta rekod Sukan Asia selepas meraih emas acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu wanita di Jepun pada Ahad.

Perenang berusia 13 tahun itu merekodkan catatan 2 minit 05.08 saat (s) untuk memperbaharui catatan 2:05.57s milik rakan senegaranya, Zhang Yufei yang dilakukan pada edisi Hangzhou tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

Zidi menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 3.36 saat di depan Chang Mohan yang membawa pulang pingat perak, sekali gus menghadiahkan emas utama pertama dalam kariernya.

Acara berkenaan juga menjadi permulaan kepada tiga acara individu yang bakal disertai Zidi pada temasya kali ini dengan keseluruhan saingan renang berlangsung di Tokyo.

Iklan

Nama Zidi mula menjadi perhatian dunia tahun lalu apabila muncul pemenang pingat termuda dalam Kejohanan Dunia Renang selepas membantu China meraih gangsa acara 4x200m gaya bebas pada usia 12 tahun.

Bagaimanapun, dia terlepas peluang menaiki podium dalam tiga acara individu selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dalam kejohanan dunia berkenaan.

Iklan

Prestasinya semakin menyerlah tahun ini apabila turut menewaskan juara Olimpik Amerika Syarikat, Regan Smith, pada Mac lalu, sekali gus meningkatkan perhatian terhadap prospek Zidi menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Di sebalik peningkatan mendadak itu, Zidi pernah mendedahkan tekanan yang dihadapinya untuk memenuhi harapan tinggi, termasuk ketika menghadapi Sukan Kebangsaan China tahun lalu.

Dia mengakui tuntutan untuk memenangi acara 400m rampaian hampir menyebabkan dirinya tidak mampu menanggung beban tersebut sebelum jurulatihnya meminta supaya terus berusaha dan percaya kepada kemampuan sendiri.

Zidi kemudian bangkit dengan meraih empat pingat pada temasya itu, namun perkembangan kariernya pada usia begitu muda turut menimbulkan persoalan dalam kalangan komuniti renang mengenai kesan latihan dan persaingan di peringkat tertinggi terhadap aspek mental serta fizikalnya.