Karate buka tirai dengan dua gangsa

Iklan
Thevendran (kiri) menewaskan Rakesh 9-1 dalam aksi repechage kumite bawah 55kg Sukan Asia di Gimnasium Toyohashi, Aichi. Foto FB MSN

KEM karate negara membuka tirai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan dua pingat gangsa menerusi K Thevendran dan H Sureeya Sankar di Gimnasium Toyohashi, Aichi pada Ahad.

Thevendran terlebih dahulu memastikan Malaysia berada di podium selepas menewaskan wakil Nepal, Rakesh Manandhar 9-1 dalam aksi repechage kumite bawah 55 kilogram (kg) lelaki.

Iklan
Iklan

Atlet negara itu bermula garang apabila menguasai gelanggang sejak awal dan mendahului 3-1 dalam tempoh seminit pertama.

Tekanan berterusan yang diberikan Thevendran selepas itu menyukarkan Rakesh mengembangkan permainan, sebelum wakil negara menamatkan pertarungan dengan kemenangan 9-1.

Iklan

Gangsa kedua pula disumbangkan Sureeya Sankar menerusi acara kumite lelaki 68kg selepas menewaskan wakil Vietnam, Van Duc Chu 10-2 dalam aksi penentuan pingat.

Sureeya (kanan) menyumbang gangsa kedua menerusi acara kumite lelaki 68kg selepas menewaskan Duc Chu 10-2 di Aichi. Foto FB MSN

Iklan

Sankar pada awalnya menerima tentangan sengit daripada Van Duc, namun berjaya mengawal rentak pertarungan sebelum melakar kemenangan selesa.

Dua gangsa itu menjadi pembuka tirai positif buat skuad karate negara berbanding edisi Hangzhou 2022 yang menyaksikan Malaysia hanya meraih emas pada hari-hari terakhir menerusi Arif Afifuddin dalam acara kumite 84kg.

Kem karate negara kini berharap momentum berkenaan dapat diteruskan oleh baki atlet yang bakal turun beraksi dalam saingan seterusnya.

Antara yang menjadi tumpuan ialah C Shahmalarani yang diharapkan mampu menambah koleksi pingat buat negara.