SEOUL – Seorang rakyat Malaysia maut selepas dipercayai ditikam dalam pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, awal pagi Ahad.
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, susulan kejadian itu, Balai Polis Eumseong menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
Suspek disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain selepas dipercayai menikam mangsa yang berusia 20-an menggunakan sebilah pisau.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 pagi di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong.
Siasatan awal mendapati dua kumpulan yang masing-masing disertai suspek dan mangsa terbabit dalam pergaduhan besar di lokasi berkenaan.
Difahamkan, kira-kira 10 individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu sebelum suspek didakwa mengeluarkan pisau dan menyerang mangsa.
Akibat kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi individu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Selepas kejadian, suspek dilaporkan melarikan diri ke sebuah kediaman berhampiran, namun berjaya diberkas polis kira-kira sejam kemudian.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan dengan mengambil keterangan daripada suspek serta beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.