KUALA LUMPUR - Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay membuktikan kewibawaannya dalam pelbagai jawatan kritikal sepanjang berkhidmat hampir 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, figura kelahiran Kota Setar, Kedah, Ayob Khan adalah satu jenama kepimpinan yang sarat dengan komitmen, ketegasan dan integriti.
"Beliau (Ayob Khan) adalah wajah pemimpin yang mempunyai prinsip tidak tergoyah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
"Sepanjang lebih 34 tahun mengabdikan diri dalam PDRM, bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia ini telah membuktikan kewibawaannya dalam pelbagai jawatan kritikal, khususnya Cawangan Khas, menerajui Kontinjen Johor, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum menamatkan khidmatnya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ke-29," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Ahad.
Majlis itu menyaksikan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Ayob Khan yang mula bersara wajib pada Isnin.
Kata Mohd Khalid, secara peribadinya, kehadiran Ayob Khan sebagai timbalan beliau adalah satu anugerah.
Jelasnya, Ayob Khan tidak hanya sebagai seorang pembantu kanan, malahan merupakan rakan sekiblat yang setia berdiri teguh di sisi saya dalam mengharungi badai dan cabaran demi menjulang martabat Sang Saka Biru.
"Saya amat menghargai setiap perkongsian pahit manis dan jerih perih sepanjang kita mengemudi bahtera pasukan ini.
"Ketegasan beliau dalam membanteras anasir militan dan menjaga keutuhan integriti wajar dijadikan suri teladan oleh seluruh kepimpinan pasukan," ujarnya.