Konon bayar jamin, lelaki rugi RM10,000 diperdaya 'pegawai polis'

Iklan
Seorang lelaki mengalami kerugian RM10,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa dua rakannya memerlukan wang jaminan. - Gambar hiasan

BAGAN DATUK - Seorang lelaki mengalami kerugian RM10,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa dua rakannya memerlukan wang jaminan.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, mangsa berusia 31 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek mendakwa dua rakan mangsa yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk akan dibebaskan dengan jaminan polis dengan bayaran RM5,000 setiap seorang.

"Lelaki itu menyedari dirinya ditipu selepas hadir ke IPD Bagan Datuk untuk mendapatkan kepastian sebelum dimaklumkan tiada urusan jaminan dilakukan oleh pegawai penyiasat pada hari berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohammad Ali berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak polis, terutama apabila melibatkan permintaan wang.

Iklan

Katanya, orang ramai boleh menghubungi IPD berhampiran untuk membuat pengesahan dan tidak melakukan sebarang transaksi wang ke akaun yang mencurigakan.

Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan membuat laporan polis bagi membantu siasatan.