NEW DELHI – Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan selepas seminggu berdepan tekanan daripada demonstrasi besar-besaran diketuai gerakan belia baharu yang mencabar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Pradhan berkata, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri susulan tekanan daripada pelajar serta keadaan semasa yang berlaku di seluruh negara.
"Melihat kepada situasi yang berlaku di Jantar Mantar dan di seluruh negara, supaya pihak anti-negara tidak mengambil kesempatan daripada keadaan ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.
"Saya amat menghormati aspirasi, perasaan dan harapan munasabah golongan belia negara ini," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Peletakan jawatan itu menjadi perkembangan besar dalam politik India apabila buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun pemerintahan Parti Bharatiya Janata (BJP), seorang menteri kanan yang rapat dengan Modi berundur akibat tekanan awam.
Tekanan terhadap Pradhan digerakkan oleh kumpulan politik belia yang dikenali sebagai Parti Janata Cockroach (CJP), yang muncul sebagai gerakan bantahan terhadap kerajaan susulan skandal kebocoran peperiksaan.
Gerakan itu berkembang menjadi kebangkitan besar-besaran golongan muda di seluruh India minggu ini.
Pengumuman Pradhan dibuat hanya beberapa jam sebelum pemimpin CJP dijadualkan bertemu menteri kerajaan BJP bagi mengulangi tuntutan supaya beliau meletakkan jawatan.
Berita mengenai pengunduran Pradhan disambut sorakan ribuan penyokong CJP yang berkumpul di New Delhi, khususnya di kawasan Jantar Mantar, yang sejak beberapa minggu lalu menuntut kerajaan mengambil tindakan terhadap isu tersebut.
Sejak Mei lalu, CJP dan penyokongnya mendesak Pradhan berundur berhubung skandal kebocoran peperiksaan yang didakwa menjejaskan kehidupan jutaan pelajar.
Isu itu turut dikaitkan dengan lebih sedozen kes pelajar akhiri hidup akibat tekanan yang dihadapi selepas terjejas dengan kontroversi berkenaan.
Beberapa pemimpin demonstrasi turut mengadakan mogok lapar berpanjangan sebagai tanda bantahan.
Demonstrasi CJP mencapai kemuncak pada Isnin apabila ratusan ribu golongan muda dan pelajar turun ke jalan raya di Delhi dalam salah satu tunjuk perasaan terbesar diketuai golongan belia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, tindakan polis yang menggunakan gas pemedih mata dan baton bagi menyuraikan perhimpunan aman menyebabkan ratusan peserta cedera.
Tindakan keras itu mencetuskan kemarahan lebih besar dan meningkatkan sokongan terhadap gerakan berkenaan apabila ribuan orang menyertai perhimpunan di Delhi.
Bantahan turut merebak ke beberapa bandar utama lain termasuk Kolkata dan Mumbai dengan ratusan ribu orang dilaporkan menyertai demonstrasi.
Sebelum ini, kerajaan Modi dilihat tidak memberi perhatian terhadap tuntutan CJP selama beberapa minggu.
Namun, selepas gerakan itu berkembang menjadi kebangkitan besar-besaran, kerajaan bersetuju mengadakan rundingan.
Modi sebelum ini berjanji mempercepatkan proses keadilan berkaitan kebocoran peperiksaan, namun tidak menyentuh tuntutan utama CJP iaitu peletakan jawatan Pradhan yang dianggap antara menteri paling berpengaruh dan setia kepada Perdana Menteri.-Agensi