NEW YORK - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Khamis mengundi untuk membenarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berucap pada persidangan tahunan pemimpin dunia minggu depan menerusi pautan video, buat tahun kedua berturut-turut selepas Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menolak permohonan visanya untuk ke New York.
Resolusi itu menerima 152 undi menyokong, tiga menentang manakala empat negara mengambil pendirian berkecuali. Ia turut membenarkan Abbas dan mana-mana pegawai kanan Palestin lain menyertai mesyuarat atau persidangan PBB menerusi video sepanjang tahun depan sekiranya mereka tidak dibenarkan memasuki Washington.
Iklan
Iklan
Langkah itu dibuat selepas Jabatan Negara AS mengumumkan sekatan visa terhadap pegawai Palestin akan dilanjutkan berikutan tindakan mereka yang kononnya mahu mengetengahkan konflik Israel-Palestin di pentas global termasuk membawa kes terhadap Israel ke tribunal antarabangsa.
Washington bagaimanapun memutuskan untuk membenarkan delegasi kanan Iran termasuk Presiden Masoud Pezeshkian dan Menteri Luar, Abbas Araghchi menghadiri UNGA. Keputusan itu dibuat walaupun AS dan Iran masih terlibat dalam konflik.
Di bawah perjanjian 1947, AS secara amnya diwajibkan membenarkan akses diplomat asing ke ibu pejabat PBB di New York.
Bagaimanapun, Washington berkata, ia boleh menolak permohonan visa atas alasan keselamatan, ekstremisme dan kepentingan dasar luar seperti dikenakan ke atas Pihak Berkuasa Palestin (PA). - Agensi
Artikel Berkaitan