Fokus penyelenggaraan, perkasa potensi ekonomi Ampangan - Calon PH DUN Ampangan

Iklan
Muhammad Nazri (dua dari kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menyantuni seorang Orang Kurang Upaya (OKU), Jumaah Mohd Alif, 68 yang tidak ketinggan hadir pada program di Benteng @ Medan Selera Ampangan.

SEREMBAN – Penyelenggaraan infrastruktur asas dan pemerkasaan ekonomi setempat menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, kedudukan Ampangan yang menjadi laluan penghubung antara Seremban, Kuala Lumpur, Pahang dan Johor menuntut penyelenggaraan jalan, longkang, parit serta sungai dilakukan secara berterusan demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

Iklan
Iklan

"Keutamaan saya ialah memastikan kemudahan asas diselenggara dengan baik supaya kehidupan penduduk lebih teratur dan risiko bencana seperti banjir dapat dikurangkan.

"Dengan latar belakang sebagai ahli perniagaan, saya juga mahu membantu usahawan tempatan memperoleh lebih banyak peluang perniagaan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih tersusun di Ampangan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, Pasar Besar Ampangan dan Benteng Ampangan yang menjadi mercu tanda kawasan itu turut memerlukan perhatian bagi menyelesaikan isu dihadapi peniaga serta meningkatkan daya tarikan lokasi berkenaan sebagai pusat membeli-belah dan menjamu selera.

Muhammad Nazri berkata, antara aduan yang kerap diterima daripada penduduk ialah longkang tersumbat, jalan berlubang, sistem perparitan yang tidak mampu menampung aliran air hujan dan sungai yang kurang disenggara.

Iklan

"Saya mahu menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat dengan pihak berkuasa tempatan supaya setiap isu dapat diselesaikan dengan lebih cepat," katanya.

Mengulas persaingan di DUN Ampangan, beliau mengakui cabaran kali ini bukan mudah, namun PH memilih pendekatan berkempen secara positif dengan memperkukuh gerak kerja jentera dan mendekati seramai mungkin pengundi.

Beliau berkata, rekod pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang lebih tujuh tahun lalu membuktikan keupayaan PH mentadbir negeri dengan baik.

"Prestasi kerajaan negeri menunjukkan komitmen tinggi dalam pentadbiran yang berintegriti dan berdisiplin. Itu menjadi asas keyakinan kami untuk terus mendapat sokongan rakyat," katanya.

Muhammad Nazri (duduk kiri) ketika hadir pada Program Santai Petang bersama warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampang.

Beliau turut menyifatkan manifesto PH sebagai tawaran yang memberi penekanan kepada kebajikan rakyat dan peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.

Katanya, kedudukan Ampangan yang berhampiran kawasan perindustrian memberi kelebihan kepada anak muda mendapatkan pekerjaan dan beliau berhasrat membantu mereka mengenal pasti keperluan industri serta laluan pendidikan yang bersesuaian.

"Saya berharap dapat menggunakan pengalaman serta jaringan dalam industri untuk membimbing anak-anak muda membuat persediaan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja," katanya.

Muhammad Nazri berkesempatan beramah mesra dengan seorang ibu tunggal yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), Jumaah Mohd Alif, 68.

Beliau turut memohon sokongan pengundi Ampangan agar memberi peluang kepada PH meneruskan khidmat kepada masyarakat pada PRN kali ini.

DUN Ampangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Muhammad Nazri yang mewakili PH, Datuk Dr Mohamad Rafie Malek (PN) dan Noor'Azah Harun (Bersatu).

Pada PRN lalu, kerusi itu dimenangi PH menerusi Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dengan majoriti 329 undi.