SETIU - Seorang pelajar sekolah maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Kampung Mangkuk di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, mangsa, Che Muhammad Alif Ikhwan Che Amat, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penarik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian jam 9.05 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan dari Kampung Penarik menghala ke Kampung Mangkuk.
"Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Wira yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara minimum lima tahun hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun," katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Thaufiq di talian 011-26069043 bagi membantu siasatan.