Buaya gergasi sepanjang 5.43 meter ditangkap di Pulau Bruit

Iklan
Seekor buaya sepanjang 5.43 meter dengan anggaran berat melebihi 600 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Sedi, Pulau Bruit, Daro . - Gambar hiasan

SIBU - Seekor buaya sepanjang 5.43 meter dengan anggaran berat melebihi 600 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Sedi, Pulau Bruit, Daro hari ini selepas dua minggu diburu kerana mengancam keselamatan penduduk di sekitar muara Batang Paloh.

Penangkap buaya berlesen Jeferry Siew Seng Kwong, 41, berkata reptilia itu berjaya dipancing kira-kira 12 tengah hari sebelum beliau bersama pasukannya mendaratkannya pada 4.05 petang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata buaya berkenaan sering memasuki sungai-sungai kecil yang menjadi laluan dan tempat penduduk menjalankan aktiviti harian, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

"Penduduk di sini bergantung pada sungai kecil untuk aktiviti harian mereka. Sebab itu mereka terancam dengan kehadiran buaya terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Iklan

Jeferry berkata pasukannya telah menyasarkan buaya berkenaan sejak dua minggu lepas dan pernah berjaya memancingnya, namun haiwan itu terlepas selepas tali pancing putus.

Beliau berkata ancaman buaya di kawasan itu masih belum berakhir kerana terdapat seekor lagi haiwan terbabit yang dipercayai lebih besar dan masih belum berjaya ditangkap.

Iklan

Jeferry yang memiliki lesen memburu buaya daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah menangkap lebih 100 buaya sepanjang penglibatannya dalam aktiviti berkenaan.

Pada 7 Okt lepas, beliau bersama pasukannya turut berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 4.15 meter di Sungai Rajang berhampiran kawasan Stabau-Salim, Sibu. - Bernama