Pam JPS kembali berfungsi, pesawah tarik nafas lega

Iklan
Nordin (lima dari kiri) bersama pesawah serta pegawai JPS ketika membawa Najihatussalehah (enam dari kiri) melihat keadaan pam air di Rumah Pam JPS Teluk Bakong, Parit pada Rabu.

PARIT – Pesawah di kawasan Lambor Kanan menarik nafas lega apabila masalah pengairan yang dihadapi berjaya diatasi selepas pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Rumah Pam Teluk Bakong kembali berfungsi.

Pengerusi Persatuan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, dalam tempoh tiga hari selepas isu pengairan itu disiarkan media ia mendapat perhatian pihak berkaitan yang bertindak menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini daripada tiga pam yang terdapat di rumah pam berkenaan, hanya satu berfungsi sehingga menyebabkan penyaluran air ke kawasan sawah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Tindakan JPS Daerah Perak Tengah menyalurkan segera bekalan air ke sawah di kawasan Lambor dalam tempoh tiga hari selepas laporan media disiarkan amat dipuji.

Iklan

"Hari ini, difahamkan ketiga-tiga pam tersebut telah berfungsi sepenuhnya termasuk pam tambahan. Alhamdulillah, air kini dapat dialirkan ke sawah dan parasnya mencukupi khususnya pada peringkat awal penanaman ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sinar Harian pada 18 Julai lalu melaporkan cuaca panas melampau yang berlarutan menjejaskan tanaman padi di beberapa kawasan seluas 15,000 hektar di daerah Perak Tengah apabila pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Iklan

Keadaan itu lebih membimbangkan apabila ada pesawah terpaksa menangguhkan penanaman atau tidak mengusahakan sawah mereka.

Sementara itu, Nordin berkata, pengurusan air untuk sawah amat kritikal ketika ini memandangkan negara berdepan fenomena El Nino ekstrem yang boleh menjejaskan tanaman padi.

Beliau turut berharap kerajaan dapat menyalurkan apa jua bentuk bantuan dan peruntukan kecemasan bencana kepada JPS serta agensi berkaitan supaya masalah yang dihadapi petani dapat diatasi dengan segera.

Jelasnya, perkara itu penting bagi memastikan petani terus bersemangat memajukan sawah masing-masing, sekali gus menjamin bekalan beras negara tidak terjejas.

Dalam pada itu, Nordin mengulangi gesaan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mewujudkan segera jawatankuasa petugas khas bagi menangani kesan El Nino ekstrem sehingga ke peringkat daerah.

Terdahulu, Nordin bersama beberapa pesawah membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad bersama Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman melawat beberapa kawasan sawah yang terjejas akibat masalah pengairan dihadapi.