IPOH - Lebih 500 peserta antarabangsa dari 13 negara bakal memeriahkan Lenggong International Dialogue 2026 (LiD'26) yang berlangsung dari 25 hingga 29 November ini di Lenggong Geopark.
Penganjuran acara itu menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan, budaya, makanan tradisional, muzik, sukan dan pengembaraan, selain program pendidikan serta intelektual yang mengangkat keunikan Lenggong sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Pengerusi LiD'26 merangkap Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, program berkenaan dirangka bagi memanfaatkan keistimewaan Lenggong sebagai kawasan yang mempunyai pengiktirafan berganda UNESCO.
Menurutnya, kemuncak acara yang dikenali sebagai D'DAY LiD'26 itu akan menampilkan lebih 49 program mencakupi lima teras utama iaitu Lenggong Valley Cultural Festival, Lenggong Traditional Food Festival, Lenggong Geo Live, Lenggong Geo Adventure dan Lenggong Geo Intelektual.
"Menerusi program ini, kita mahu menjadikan Lenggong bukan sekadar tempat untuk dikunjungi, tetapi destinasi yang memberikan pengalaman tersendiri kepada setiap pengunjung," katanya kepada pemberita sempena Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri Bersama Media Perak di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.
Antara tarikan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung ialah ASEAN Youth LiD'26 Leaders, Pesta Budaya Lembah Lenggong, Silang Budaya Antarabangsa Lembah Lenggong, Malam Tribuana Bangsawan ASEAN serta Simposium Pemimpin Muda Malaysia-Indonesia.
Program berkenaan turut membuka ruang kepada kerjasama rentas negara menerusi hubungan antara Lenggong Geopark dengan Kaldera Toba di Medan, Indonesia, selain pengisian seni dan budaya yang melibatkan peserta antarabangsa.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, selain aktiviti kebudayaan dan pelancongan, LiD'26 turut memberi penekanan kepada pembentukan kerjasama jangka panjang menerusi beberapa memorandum persefahaman (MoU), termasuk dalam bidang budaya antara Akademi Budaya Lembah Lenggong dengan rakan antarabangsa.
Katanya, kerjasama antara Lenggong Geopark dengan Kaldera Toba pula menjadi antara usaha memperluas hubungan antara destinasi geopark, sekali gus membuka peluang perkongsian kepakaran dan pembangunan pelancongan berasaskan warisan alam.
"Satu lagi pengisian penting ialah penghasilan Resolusi LiD'26 yang menghimpunkan pandangan serta cadangan daripada beberapa program berteraskan tema Warisan Dipelihara, Alam Dilestari, Generasi Diperkasa.
"Resolusi berkenaan akan diselaraskan dengan penglibatan ahli akademik dan dijangka diserahkan kepada Kerajaan Negeri Perak sebagai pandangan serta harapan pelbagai pihak terhadap usaha memelihara warisan, melestarikan alam dan memperkasa generasi muda," katanya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, bagi memastikan pengunjung dapat menikmati pelbagai pengisian, Dataran Lenggong ditetapkan sebagai lokasi utama, manakala beberapa tempat lain turut digunakan termasuk Laman Budaya Pelancongan Lenggong, Kampung Budaya Lembah Lenggong, Dewan Merdeka Lenggong dan Resort Tasik Raban.
"Kita harap penganjuran LiD'26 membawa harapan untuk membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui sektor pelancongan, keusahawanan dan penglibatan komuniti," katanya.