KECERDASAN buatan (AI) membawa pelbagai manfaat kepada dunia perniagaan, namun pada masa yang sama turut dimanipulasi oleh sindiket penipuan untuk memperdaya pengguna menerusi kaedah yang semakin canggih dan sukar dikesan.
Pakar Keselamatan Siber, Dr Suresh Ramasamy berkata, perkembangan teknologi AI menyebabkan taktik penipuan dalam talian kini jauh berbeza berbanding beberapa tahun lalu kerana kandungan yang dihasilkan kelihatan lebih meyakinkan dan sukar dibezakan daripada yang tulen.
Menurutnya, jika sebelum ini mesej penipuan mudah dikenal pasti melalui penggunaan bahasa yang janggal atau kesilapan tatabahasa, kini AI membolehkan penjenayah menghasilkan kandungan yang lebih kemas, lengkap dengan terjemahan yang baik, gambar berkualiti tinggi serta video yang kelihatan seolah-olah asli.
"AI telah mengubah landskap penipuan siber. Sindiket bukan sahaja mampu menghasilkan mesej yang lebih meyakinkan, malah mereka boleh menghasilkan gambar, video dan rakaman suara yang hampir menyerupai individu sebenar.
Beliau berkata, teknologi yang sama turut digunakan untuk menghasilkan video menggunakan imej atau suara individu terkenal bagi mempromosikan produk yang tidak wujud, skim pelaburan palsu atau barangan tiruan sebelum kandungan tersebut disebarkan secara meluas menerusi media sosial.
Selain penyalahgunaan AI, Suresh berkata, penipuan melalui pembayaran menggunakan kod QR, pautan pembayaran palsu serta penjualan produk tiruan masih kekal sebagai antara modus operandi yang paling kerap digunakan dalam urus niaga dalam talian.
Menurutnya, peningkatan kes penipuan berlaku seiring dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital dan perubahan corak pembelian pengguna yang kini semakin bergantung kepada platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk mendapatkan barangan serta perkhidmatan.
Trend itu turut disokong oleh peningkatan jumlah kes penipuan dalam talian di Malaysia. Berdasarkan laporan media, sebanyak 66,204 kes direkodkan sepanjang 2025, meningkat 87 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Semakin banyak urus niaga dilakukan secara digital, semakin luas peluang kepada penjenayah siber untuk mencari mangsa. Mereka sentiasa menyesuaikan taktik mengikut trend penggunaan teknologi dan platform yang menjadi pilihan pengguna,” katanya.
Suresh berkata, golongan berusia lebih 50 tahun masih tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi kerana tahap literasi digital dan kesedaran terhadap keselamatan siber yang masih rendah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan golongan muda juga tidak terkecuali memandangkan mereka lebih aktif membeli-belah secara dalam talian dan kerap berinteraksi dengan pelbagai platform digital.
Menurutnya, ancaman turut dihadapi peniaga yang menjalankan perniagaan secara sah apabila terdapat pembeli tidak bertanggungjawab menggunakan pelbagai helah bagi mendapatkan barangan tanpa membuat pembayaran yang sah atau menyalahgunakan sistem pemulangan wang.
Pada masa sama, peningkatan penggunaan pembayaran digital yang semakin meluas turut membuka ruang kepada sindiket untuk mengeksploitasi kelemahan sistem pembayaran dan memindahkan wang hasil penipuan dengan pantas.
“Cabaran menjadi lebih besar apabila wang hasil penipuan dipindahkan ke luar negara. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan agensi penguat kuasa bagi menangani jenayah siber, usaha membanteras sindiket rentas sempadan memerlukan kerjasama yang lebih kukuh antara negara,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan kes penipuan bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap urus niaga dalam talian.
“Keadaan itu turut memberi kesan kepada peniaga yang beroperasi secara sah kerana mereka perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan pelanggan bahawa perniagaan mereka boleh dipercayai,” katanya.
Sehubungan itu, Suresh menegaskan usaha membina ekosistem e-dagang yang lebih selamat perlu diperkasakan menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, platform e-dagang, penyedia perkhidmatan pembayaran, peniaga dan pengguna.
“Kepercayaan merupakan asas kepada pertumbuhan ekonomi digital. Tanpa tahap keselamatan yang kukuh, teknologi termasuk AI yang sepatutnya menjadi pemacu inovasi dan pertumbuhan perniagaan boleh bertukar menjadi ancaman yang menghakis keyakinan pengguna terhadap ekosistem digital negara,” katanya.