SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Rabu mengumumkan rombakan Kabinet serta pelantikan politik baharu sebagai sebahagian daripada peralihan kepimpinan kerajaan susulan peletakan jawatan beberapa pemegang jawatan politik baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa, kecuali beberapa pelantikan, semua pelantikan baharu akan berkuat kuasa mulai 27 Julai.
Antara pelantikan utama ialah K Shanmugam yang dilantik sebagai Menteri Kanan, sambil mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Shanmugam akan menyertai Menteri Kanan, Lee Hsien Loong sebagai dua anggota paling berpengalaman dalam Kabinet Lawrence.
"Mereka akan terus memberikan nasihat yang bernilai, selain membantu membimbing dan menjadi mentor kepada pemegang jawatan yang lebih muda," kata Lawrence pada sidang media.
Sementara itu, Lawrence berkata, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) akan dinamakan semula sebagai Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) mulai 1 Oktober, dan akan diterajui oleh dua menteri, iaitu Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong serta Tan See Leng.
Kim Yong akan terus menyelia perdagangan Singapura dan strategi ekonomi keseluruhannya, manakala See Leng akan bertanggungjawab terhadap portfolio tenaga dan perusahaan.
"Beliau (See Leng) telah pun terlibat secara rapat dalam bidang ini sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga serta Sains dan Teknologi. Kini beliau akan menumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio ini dan melepaskan tanggungjawabnya di Kementerian Tenaga Manusia," kata Lawrence.
Perdana menteri itu turut mengumumkan kenaikan pangkat Jeffrey Siow dan David Neo sebagai menteri penuh. Portfolio masing-masing kekal sebagai Menteri Pengangkutan serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
Lawrence turut mengumumkan kenaikan pangkat Sim Ann sebagai Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.
Bagi perubahan melibatkan pemegang jawatan politik, Jasmin Lau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan, di samping dilantik sebagai Pemangku Menteri Tenaga Manusia.
Goh Pei Ming turut dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri.
Alvin Tan pula dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar. Beliau akan terus menyandang jawatan Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Negara dan melepaskan jawatannya di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Ng Chee Meng, dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), manakala Zhulkarnain Abdul Rahim dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri.
Pelantikan baharu lain membabitkan Foo Cexiang sebagai Menteri Negara di Kementerian Tenaga Manusia serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, manakala Shawn Loh dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
"Kami memberikan tanggungjawab yang lebih besar kepada pemegang jawatan yang lebih baharu dan muda apabila mereka melangkah ke peringkat seterusnya. Pada masa sama, kami mengekalkan kesinambungan serta pengalaman dalam pasukan kepimpinan teras.
"Keseimbangan ini penting kerana Singapura memerlukan pemimpin berpengalaman untuk mengharungi cabaran semasa, di samping generasi baharu yang bersedia memimpin negara ke hadapan," kata Lawrence. - Bernama