PUTRAJAYA – Sekumpulan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menggesa pentadbiran negara itu mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan tindakan Putrajaya terhadap warga Israel yang didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport negara kedua.
Gesaan itu dibuat menerusi surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada 21 Julai lalu yang turut meminta Washington mempertimbangkan penggantungan pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) sekiranya Malaysia tidak mengubah pendiriannya dalam tempoh 15 hari.
Dalam surat itu, mereka mendakwa tindakan Malaysia menyasarkan warga Israel berdasarkan kewarganegaraan.
"Keengganan Malaysia mengiktiraf Israel sudah cukup membimbangkan. Namun, adalah sama sekali tidak boleh diterima apabila seorang ketua kerajaan secara terbuka mengisytiharkan bahawa negaranya akan mengesan dan mengusir rakyat daripada salah sebuah sekutu rapat kami hanya berdasarkan kewarganegaraan mereka," menurut surat itu.
Mereka turut menegaskan bantuan dan sokongan yang diberikan AS kepada Malaysia perlu disertai dengan jangkaan bahawa rakyat dari negara sekutunya tidak menjadi sasaran.
"Berdasarkan pengaruh diplomatik yang dimiliki, kami percaya AS perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaannya bahawa bantuan serta sokongan kami datang bersama jangkaan bahawa mereka tidak akan menyasarkan rakyat daripada salah sebuah sekutu terdekat kami," kata mereka.
Sehubungan itu, kumpulan Ahli Kongres berkenaan menggesa Jabatan Negara AS menggunakan semua saluran diplomatik bagi mendesak Malaysia mengubah pendiriannya.
"Sekiranya Malaysia enggan menarik balik dasar ini dalam tempoh 15 hari, kami menggesa pembiayaan Program IMET digantung," menurut surat itu lagi.
Surat berkenaan diketuai Ahli Kongres Greg Landsman bersama Josh Gottheimer serta turut ditandatangani Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.
Isu itu timbul susulan dakwaan terdapat individu yang mempunyai kewarganegaraan Israel memasuki Malaysia menggunakan pasport negara lain bagi menyertai program Network School di Forest City, Johor.
Ia menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak sehingga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.
Pemeriksaan Jabatan imigresen (JIM) terhadap 266 warga asing dari 40 negara di Forest City dan semakan awal mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa, namun siasatan lanjut diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan.
Bagaimanapun 16 individu yang dikaitkan dengan Network School masih gagal dikesan.
Sebelum ini, Anwar menegaskan kerajaan akan mengusir segera rakyat Israel yang berada di negara ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf rejim berkenaan.
Beliau turut berkata, semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan untuk menyertai komuniti Network School di Forest City, Johor.
Pengendali syarikat Network School, NSO Malaysia Sdn Bhd juga telah diarahkan menghentikan semua operasinya selepas lesen perniagaannya dibatalkan berkuat kuasa 22 Julai, susulan keputusan Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Pengasas Network School, S Balaji mengumumkan penangguhan semua rancangan pelaburan baharu syarikatnya di Malaysia ditangguhkan sehingga mendapat jaminan kerajaan.