DOHA - Malaysia menggesa supaya kedaulatan setiap negara dihormati dalam menentukan dasar telekomunikasi, sambil memberikan amaran ancaman 'kolonialisme teknologi', yang menyaksikan pihak lebih maju dari segi teknologi menentukan cara negara lain membangunkan dan menggunakan infrastruktur digital mereka.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setiap negara perlu mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju teknologinya sendiri, khususnya ketika persaingan geopolitik dan ekosistem teknologi yang saling bersaing semakin mempengaruhi pembangunan telekomunikasi global.
“Tidak seharusnya wujud keadaan kolonialisme teknologi, iaitu apabila sesebuah negara lebih maju menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta dilaksanakan oleh negara lain.
“Setiap negara mempunyai kedaulatan sendiri dan seharusnya berhak menentukan dasar masing-masing,” katanya ketika menyertai perbincangan panel peringkat menteri pada Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 di sini.
Fahmi berkata, pengalaman Malaysia dalam melaksanakan rangkaian 5G membuktikan kepentingan mengekalkan kebebasan dalam menentukan dasar, sambil menguruskan pertimbangan geopolitik dan diplomatik yang kompleks.
Beliau berkata, Malaysia pada awalnya menerima pakai model rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan 5G walaupun GSMA Intelligence tidak mengesyorkan pendekatan ini, sebelum beralih kepada model dwirangkaian.
“Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri kerana kita melaksanakan perkara yang tidak disarankan oleh GSMA Intelligence, iaitu melancarkan 5G menggunakan model rangkaian borong tunggal. Namun, kita tetap melaksanakannya dan saya ialah menteri yang bertanggungjawab menguruskan peralihannya kepada model dwirangkaian,” katanya.
Fahmi menyifatkan peralihan itu sebagai usaha mencabar yang memerlukan Malaysia menguruskan sensitiviti diplomatik, di samping mengimbangi keutamaan domestik dengan piawaian teknologi antarabangsa.
Perbincangan mengenai kedaulatan digital tidak seharusnya terhad kepada keupayaan berdikari dari segi teknologi, sebaliknya perlu merangkumi prinsip kedaulatan negara secara lebih menyeluruh.
Menteri itu berkata, persekitaran global yang semakin multipolar menuntut lebih banyak dialog dan penglibatan antara negara bagi mencari titik persamaan, bukannya memperluas jurang perbezaan.
“Dalam era yang semakin multipolar ini, kita perlu mengadakan lebih banyak perbincangan dan penglibatan serta mencari titik persamaan, bukannya perkara yang memecahbelahkan kita,” katanya.
Fahmi berkata, prinsip saling kendali yang membolehkan pelbagai rangkaian dan teknologi telekomunikasi beroperasi secara bersama, akan diuji apabila negara melaksanakan strategi digital masing-masing.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan konsensus ASEAN mempunyai dinamik tersendiri, memandangkan blok itu tidak mempunyai parlimen pusat dan amat menitikberatkan penghormatan terhadap kedaulatan setiap negara anggota.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, usaha membina kepercayaan dan mencapai saling kendali memerlukan negara melihat melangkaui sempadan masing-masing, serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Fahmi turut menekankan keperluan membantu negara membangun merapatkan jurang digital, khususnya ketika sektor telekomunikasi bersiap sedia menghadapi peralihan kepada teknologi kuantum dan komunikasi selamat kuantum.
Beliau berkata, tumpuan lebih besar perlu diberikan kepada usaha meningkatkan penggunaan praktikal rangkaian sedia ada, sebelum industri beralih sepenuhnya kepada teknologi generasi keenam (6G).
“Sebelum kita bercakap mengenai 6G, kita perlu melihat sejauh mana 5G atau 5G-Advanced benar-benar digunakan. Perkara itu masih menjadi cabaran utama yang sedang kita tangani secara aktif di Malaysia,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Fahmi yakin kerjasama antarabangsa mampu mencetuskan penemuan inovatif, “khususnya daripada negara yang selama ini tidak dianggap sebagai peneraju teknologi dunia.
“Terdapat pelbagai cabaran, namun banyak juga peluang untuk kita mencari penyelesaian bersama-sama, dan adakalanya penyelesaian itu mungkin datang daripada negara yang tidak pernah kita jangkakan,” katanya. - Bernama