KUALA LUMPUR – Malaysia tidak berdepan kekurangan undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak, sebaliknya keberkesanan perlindungan itu bergantung kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan setiap peruntukan yang digubal.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki berkata, negara mempunyai pelbagai undang-undang yang mengawal aspek kehidupan golongan itu, namun kelemahan pelaksanaan menyebabkan matlamat perlindungan sukar dicapai.
"Malaysia perlu mempunyai mekanisme pemantauan bagi menilai keberkesanan sesuatu undang-undang selepas ia dikuatkuasakan," katanya dalam dialog bertajuk 'Online Safety by Design: Platform Accountability and Child Protection in an Age of User Vulnerability' sempena International Regulators Conference (IRC) 2026 di sini pada Selasa.
Dalam pada itu beliau menegaskan, pendekatan membuat semakan semula undang-undang selepas setahun pelaksanaan seperti yang diamalkan di England, wajar dipertimbangkan bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik peruntukan sedia ada.
Ini kerana menurutnya, selepas sesuatu undang-undang diluluskan, perlu ada semakan bagi mengenal pasti kelemahan serta melihat ruang penambahbaikan sebelum pindaan dibuat.
Malah beliau berpandangan, sistem perundangan negara ketika ini masih bergantung kepada tindakan selepas sesuatu insiden berlaku, sedangkan perlindungan kanak-kanak di alam digital memerlukan pendekatan proaktif dan bersifat pencegahan.
"Sama seperti usaha memastikan jalan raya dan taman permainan dibina mengikut piawaian keselamatan untuk kanak-kanak, persekitaran digital juga perlu direka bentuk dengan mengambil kira keselamatan golongan tersebut sejak awal.
"Kita tidak mengharapkan kanak-kanak belajar melintas jalan yang berbahaya, sebaliknya kita membina jalan yang lebih selamat.
"Begitu juga dengan persekitaran dalam talian, kita perlu memastikan ia selamat untuk kanak-kanak sejak awal, bukannya hanya bertindak selepas sesuatu berlaku," ujarnya.
Beliau turut mengakui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian merupakan satu langkah penting, namun keberkesanannya bergantung kepada peraturan sokongan serta keupayaan pihak berkuasa melaksanakan dan menguatkuasakannya secara konsisten.
"Cabaran sebenar ialah bagaimana memastikan penguatkuasaan itu benar-benar berkesan supaya undang-undang yang diwujudkan memberi manfaat kepada semua, khususnya kanak-kanak," katanya.