PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan, tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen Sarawak buat masa ini melibatkan mana-mana bahagian pilihan raya seperti dilaporkan akhbar tempatan yang merujuk kepada perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, dakwaan dalam laporan itu memetik "Dokumen Cadangan Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Sarawak” yang kononnya dikongsi kepada akhbar berkenaan.
Iklan
Iklan
"Untuk makluman, hanya syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Ketujuh telah disediakan oleh SPR dan kini sedang dipamerkan secara rasmi kepada orang ramai sepanjang bulan ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru, Khairul Shahril berkata SPR menyeru pihak akhbar berkenaan agar sentiasa merujuk maklumat mengenai KSP yang sahih dan tepat di portal atau kenyataan rasmi dikeluarkan SPR.
Akhbar bahasa Melayu sebelum ini melaporkan KSP kawasan pilihan raya bagi Sarawak dijangka menyaksikan pertambahan 15 kerusi Parlimen menjadikan jumlah kerusi negeri itu meningkat daripada 31 kepada 46 kerusi. - Bernama