3,494 doktor tinggalkan KKM, MMA mahu Belanjawan 2027 tangani krisis tenaga kerja

Iklan
MMA menggesa Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada pengekalan doktor dan pakar dalam sektor awam, termasuk laluan kerjaya, jawatan tetap serta penambahbaikan kebajikan. Gambar kecil: Sivanaesan

SHAH ALAM - Keperluan mengekalkan doktor dalam sektor awam antara yang perlu diberi perhatian menerusi pembentangan Belanjawan 2027, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr L Sivanaesan.

Beliau berkata, antara 2019 hingga 2023, seramai 3,494 doktor meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk 2,385 pegawai perubatan tetap dan 1,109 tenaga pakar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peletakan jawatan dalam kalangan pakar turut meningkat 57 peratus dalam tempoh berkenaan.

"Malaysia kini berdepan kekurangan hampir 11,000 pakar, manakala kekosongan jawatan jururawat kira-kira 18 peratus. Hanya 529 daripada jawatan siswazah perubatan yang ditawarkan pada Januari 2026 telah diisi.

Iklan

"Data dibentangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen turut menunjukkan kekosongan jawatan di KKM meningkat ketara dari 10,419 pada 2017 kepada 54,362 (2024) manakala kadar pengisiannya merosot dari 96 peratus kepada 83 peratus," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, setiap jawatan yang tidak diisi menambah tekanan kepada tenaga kerja yang sudah pun terbeban dan ia berisiko menjejaskan lagi keupayaan sistem kesihatan awam untuk menyediakan rawatan berkualiti.

Iklan

Sehubungan itu, MMA menggesa kerajaan menyediakan peruntukan mencukupi bagi menyokong rancangan memansuhkan sistem kontrak dan menawarkan jawatan tetap kepada pegawai perubatan siswazah yang layak dengan sasaran pelaksanaan menjelang 2028.

Katanya, jawatan tetap memberikan jaminan kerjaya yang lebih bermakna buat doktor muda dan ia mampu menjadi asas kukuh kepada pengekalan tenaga kerja sistem kesihatan awam untuk jangka panjang.

"MMA turut memohon supaya tempoh perkhidmatan kontrak pada tahun-tahun sebelumnya diiktiraf bagi tujuan peningkatan gaji," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mencadangkan penyediaan laluan telus berasaskan merit bagi membolehkan pakar berpengalaman dinaikkan ke Gred Khas atau Gred Utama C minimum selepas lima tahun perkhidmatan.

Beliau berpandangan, kenaikan pangkat tidak perlu dibuat secara automatik, tetapi berdasarkan 80 peratus penilaian kriteria objektif dan 20 peratus penilaian profesional berstruktur.

"Menjelang tahun ke-10 selepas pewartaan, setiap pakar yang diiktiraf sebagai pakar perubatan hendaklah menjalani penilaian kenaikan pangkat secara rasmi dengan keputusan dan alasan dimaklumkan dengan jelas.

"Laluan sama juga perlu diwujudkan bagi pakar subkepakaran yang diiktiraf.

"Kerajaan perlu memberikan sebab kukuh kepada pakar berpengalaman untuk kekal dalam perkhidmatan awam dan terus melatih generasi seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, MMA menggesa kerajaan memperhalusi dasar yang didakwa menyukarkan doktor dan pakar membina kerjaya mampan dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Antara perkara yang dicadangkan ialah semakan syarat tiga penilaian Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) lengkap berturut-turut sebelum mengikuti latihan subkepakaran, penyediaan Jawatan Simpanan Latihan yang mencukupi, pemberian elaun pakar dan kadar bayaran bertugas atas panggilan (on-call) yang adil.

MMA turut menggesa kerajaan mengekalkan kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) terdahulu bagi petugas kesihatan yang berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, selain menyelaraskan aturan kerja dengan standard 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), termasuk tempoh rehat selepas bekerja tanpa henti selama 24 jam.

"Ini bukan sekadar soal kebajikan tenaga kerja. Tenaga kerja letih, terlalu terbeban dan tidak mendapat sokongan mencukupi tidak mampu mengekalkan sistem penjagaan kesihatan yang selamat," ujar Sivanaesan.

Beliau turut menekankan keperluan mengekal dan memperkukuhkan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) selepas terjadi insiden helikopter terhempas baru-baru ini sehingga mengorbankan lima nyawa.

Katanya, peruntukan FDS mesti ditambah bagi memastikan dana mencukupi untuk penyelenggaraan dan kelestarian perkhidmatan termasuk peralatan, sokongan pesawat serta keperluan operasi.

"Kerajaan juga perlu menyemak dan meningkatkan elaun petugas FDS secara ketara kepada kadar yang munasabah. Ini kerana elaun tidak berubah sejak 1978," katanya.

Selain tenaga kerja, Sivanaesan berkata, Belanjawan 2027 juga perlu meningkatkan pelaburan dalam penjagaan primer dan pencegahan berikutan peningkatan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) terhadap sistem kesihatan negara.

Menurutnya, pengesanan awal dan pengurusan diabetes, hipertensi serta NCD lain dapat mencegah komplikasi yang memerlukan kos tinggi serta mengurangkan tekanan terhadap hospital.

"Pelaburan perlu dibuat pada peringkat awal untuk memastikan rakyat kekal sihat, bukannya membelanjakan lebih banyak wang untuk merawat penyakit yang boleh dicegah kemudian," katanya.

Tambah beliau, Belanjawan 2027 juga perlu menyediakan pembiayaan untuk rawatan dan pemantauan susulan selepas saringan yang disokong kerajaan dengan menggunakan rangkaian lebih 11,000 klinik pengamal perubatan am (GP) swasta di negara ini.

"GP swasta boleh dimanfaatkan dengan lebih meluas untuk menyokong Program Imunisasi Kebangsaan serta menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi pelajar universiti dan penjawat awam," katanya.

Dalam pada itu, MMA turut mencadangkan penubuhan Bahagian Pembangunan Penjagaan Kesihatan Swasta dalam KKM bagi membangun dan menyelaraskan sektor berkenaan sebagai pelengkap kepada peranan kawal selia Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

"Keutamaan awal bahagian itu perlu diberikan kepada penjagaan primer swasta, dengan lebih 11,000 klinik GP boleh digembleng untuk menyokong program nasional.

"Mandat yang lebih luas pula perlu merangkumi hospital, perkhidmatan diagnostik dan penyedia penjagaan kesihatan swasta lain," katanya.

Bagi mempercepatkan digitalisasi dalam sistem penjagaan kesihatan, persatuan itu memohon peruntukan RM10 juta bagi mendigitalkan proses pendaftaran dan pelesenan CKAPS melalui satu platform dalam talian bersepadu.

Sivanaesan berkata, ia bertujuan mengurangkan tempoh pemprosesan, meningkatkan ketelusan dan memperkukuhkan kecekapan kawal selia.

Akhir sekali, beliau berkata, papan pemuka tenaga kerja kesihatan nasional secara 'real-time' mesti dibangunkan bagi memantau kekosongan jawatan, taburan tenaga kerja kesihatan, kapasiti latihan dan kadar pengurangan tenaga kerja.

Katanya, Malaysia telah melabur secara besar-besaran dalam melatih profesional kesihatan dan golongan terbabit mesti dikekalkan.

"Usaha ini memerlukan pendekatan seluruh kerajaan yang melibatkan KKM, Kementerian Kewangan (MoF), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"MMA mengakui kekangan fiskal yang dihadapi kerajaan. Namun, usaha mengekalkan tenaga kerja tidak boleh dianggap sebagai aspirasi jangka panjang ketika kekurangan tenaga kerja sudah menjejaskan sistem.

"Langkah kewangan boleh dilaksanakan berperingkat bermula dengan petugas yang telah lama berkhidmat, bidang kepakaran kritikal serta kawasan yang mengalami kekurangan paling serius," katanya.