ALOR SETAR - Kerajaan akan menambah peruntukan bagi membantu golongan usahawan kecil menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Oktober depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, bantuan berkenaan penting bagi memastikan usahawan mikro yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.
"Dalam belanjawan kita bulan depan, InsyaAllah, Saya nak tambah peruntukkan untuk usahawan kecil macam ini," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Dewan Kompleks Persekutuan Muadzam Shah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.
Kira-kira 1,500 usahawan dan penjaja kecil di negeri ini hadir pada majlis tersebut.
Anwar berkata, pendekatan kerajaan bukan semata-mata melibatkan projek bernilai besar, sebaliknya bantuan kecil yang disalurkan secara terus kepada golongan sasaran mampu memberi perubahan besar kepada kehidupan mereka.
Beliau berkata, Kerajaan mahu bantuan mikro disalurkan terus kepada penerima tanpa birokrasi berlebihan.
Menurutnya, bantuan berkenaan boleh berbentuk mesin jahit, peti sejuk, peralatan membuat kuih atau kelengkapan lain yang diperlukan mengikut jenis perniagaan penerima.
"Alat dia bukan puluh-puluh ribu, nak RM1,000, RM600, tapi kena bagi kepada dia langsung.
"Tak payahlah agensi-agensi, jabatan-jabatan banyak-banyak sangat, yang penting bagaimana nak cari jalan dengan bantuan kecil, tetapi sampai langsung ke tangan," ujarnya.
Beliau berkata, konsep sama turut diterapkan menerusi Skim Usahawan Bangkit yang dilaksanakan di Kedah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan kerajaan negeri.
Menurutnya, Skim Usahawan Bangkit Kedah dijadikan contoh pelaksanaan bantuan usahawan mikro di peringkat negeri.
"Tahniah Kedah kerana jadi nombor satu Skim Usahawan Bangkit di peringkat negeri yang kita selaraskan dengan baik.
"Mudah-mudahan, kejayaan ini menjadi contoh apabila saya ke negeri-negeri lain," katanya lagi.