SHAH ALAM – Pas menggesa kerajaan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery yang dikaitkan dengan penipuan korporat, bagi memastikan keseluruhan proses kelulusan dan tadbir urus dapat dinilai secara bebas serta telus.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penubuhan RCI bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak sebelum siasatan selesai, sebaliknya bagi mendapatkan fakta secara menyeluruh demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi yang mengurus dana awam.
“Penubuhan RCI wajar dipertimbangkan. Matlamatnya bukan untuk menghukum mana-mana individu sebelum siasatan selesai. Sebaliknya, ia bertujuan mendapatkan fakta secara bebas, menyeluruh dan telus.
“RCI boleh meneliti keseluruhan kronologi pelaburan, proses usaha wajar atau ‘due diligence’ yang dijalankan, peranan setiap peringkat kelulusan, penggunaan penasihat luar, mekanisme pengurusan risiko, tindakan selepas penipuan dikesan serta mengenal pasti sama ada terdapat kelemahan sistemik yang perlu diperbaiki.
“Sekiranya semua prosedur telah dipatuhi dan KWAP benar-benar menjadi mangsa kepada penipuan yang tidak dapat dielakkan, RCI akan membersihkan nama institusi tersebut melalui penemuan yang bebas dan berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya siasatan mendapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan pelaburan KWAP dalam eFishery.
Beliau yang menjawab isu eFishery di Dewan Negara berkata, walaupun laporan awal menunjukkan tidak wujud unsur sedemikian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, penjelasan Perdana Menteri bahawa beberapa firma pelaburan antarabangsa seperti Temasek, SoftBank, Northstar dan 42XFund turut menjadi mangsa penipuan tidak seharusnya menamatkan perbahasan mengenai akauntabiliti KWAP.
Menurutnya, hakikat bahawa pelabur bertaraf dunia turut terpedaya hanya membuktikan penipuan itu dilakukan secara terancang dan kompleks, namun ia tidak menjawab persoalan mengenai bagaimana pelaburan berkenaan diluluskan.
“Persoalan sebenar ialah apakah skop ‘due diligence’ yang dijalankan sebelum pelaburan dibuat, siapakah penasihat luar yang dilantik, apakah risiko yang dikenal pasti dan sama ada terdapat sebarang ‘red flags’ yang dibangkitkan.
“Rakyat juga berhak mengetahui bagaimana jawatankuasa pelaburan dan lembaga membuat pertimbangan terhadap risiko tersebut, bila KWAP mula menyedari terdapat masalah dan tindakan segera yang diambil selepas itu,” ujarnya.
Beliau berkata, sebagai badan berkanun yang diamanahkan mengurus dana berkaitan komitmen pencen kerajaan, KWAP perlu mematuhi standard tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih tinggi berbanding syarikat pelaburan swasta.
Katanya, isu berkenaan bukan bertujuan mencari kambing hitam, sebaliknya memastikan kelemahan dalam sistem penilaian, tadbir urus dan pengawasan dapat dikenal pasti serta diperbaiki.
“Struktur tadbir urus KWAP sendiri menunjukkan bahawa keputusan pelaburan bukan dibuat oleh seorang individu. Terdapat pengurusan, panel pelaburan dan lembaga yang masing-masing mempunyai peranan tertentu dalam proses membuat keputusan.
“Oleh itu, tumpuan tidak seharusnya hanya kepada hasil pelaburan, tetapi juga kepada keberkesanan keseluruhan sistem tadbir urus yang diwujudkan bagi melindungi dana awam,” jelasnya.
Ahmad Fadhli menegaskan, sekiranya terdapat kelemahan dalam proses penilaian, tadbir urus atau pengawasan, rakyat juga berhak mengetahuinya supaya pembaharuan dapat dilaksanakan.
“Akhirnya, isu ini bukan sekadar mengenai RM163.4 juta. Ia adalah mengenai amanah. Penjawat awam telah berkhidmat kepada negara selama puluhan tahun dengan kepercayaan bahawa institusi yang mengurus dana berkaitan persaraan mereka akan mengamalkan tadbir urus terbaik dan membuat keputusan pelaburan secara berhati-hati.
“Oleh itu, jawapan bahawa ‘pelabur antarabangsa turut ditipu’ tidak seharusnya menjadi noktah kepada perbahasan ini. Sebaliknya, ia sepatutnya menjadi titik permulaan kepada usaha mencari kebenaran. Hanya melalui siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh, keyakinan rakyat terhadap institusi yang mengurus amanah negara dapat dipulihkan,” kata beliau.