KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita Orang Asli dari Kampung Sungai Cot, Maran, merakamkan penghargaan kepada Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, atas keprihatinan menawarkan penempatan kepada masyarakat Orang Asli yang memerlukan di tanah milik Baginda di Kuala Wau, Maran.
Juliana Jazlin Ismail, 34, bagaimanapun menolak pelawaan Baginda dengan penuh hormat dan tegas untuk terus mempertahankan tanah adatnya.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di TikTok, Juliana menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan dan tawaran yang diberikan, namun tidak mampu meninggalkan tanah adat yang menjadi tempat bergantung hidup.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Tengku Ampuan Pahang kerana mempelawa kami tinggal di Kuala Wau, tetapi saya tidak boleh kerana tanah adat saya ada di Sungai Cot.
“Saya kena pertahankan tanah adat saya. Itulah sumber rezeki saya dan generasi saya pada masa akan datang kerana kawasan itu berhampiran hutan. Kami orang Asli memerlukan sumber hutan untuk meneruskan kehidupan,” katanya menerusi video berdurasi lebih tiga minit itu.
Tengku Azizah sebelum ini mempelawa mana-mana keluarga masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot yang memerlukan penempatan supaya berpindah dan tinggal di tanah milik Baginda di Kuala Wau.
Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Baginda sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku serta amat memahami kegusaran dan kesulitan yang sedang dihadapi masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Baginda memberi jaminan bahawa sekiranya tanah di Kuala Wau itu dibangunkan pada masa hadapan, masyarakat Orang Asli yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.
Sementara itu, Juliana turut merakamkan penghargaan kepada Tengku Ampuan Pahang yang disifatkannya mengiktiraf masyarakat Orang Asli sebagai sebahagian daripada rakyat Pahang.
“Terima kasih kerana mengiktiraf Orang Asli sebagai Orang Kita di Pahang.
“Saya berharap dapat bertemu sendiri dengan Tengku Ampuan Pahang untuk menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan,” ujarnya.
Isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan dengan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.