MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan Misi Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer apabila tiba di garisan penamat di Laman Maharani di sini kira-kira jam 9.15 pagi Ahad.
Larian selama empat hari yang bermula pada 16 Julai lalu dari Putrajaya itu berakhir dengan sambutan meriah daripada ratusan penyokong dan penduduk Muar yang memenuhi kawasan Laman Maharani seawal jam 8 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Larian Kesyukuran Syed Saddiq kutip lebih RM54,000 pada hari pertama
Baru dua hari, Larian Kesyukuran Syed Saddiq sudah kutip lebih RM361,000
Larian Kesyukuran dari Putrajaya ke Muar, Syed Saddiq sasar kutip RM200,000
Beliau yang mengenakan pakaian sukan berwarna hitam dilihat memasuki pusat bandar Muar sebelum merentasi Jambatan Sultan Ismail menuju ke lokasi penamat bersama beberapa kumpulan pelari, termasuk Muo Runner.
Misi larian itu bermula di pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya dan merentasi Negeri Sembilan serta Melaka sebelum berakhir di Muar.
Menurut Syed Saddiq sebelum ini, larian tersebut dianjurkan sebagai tanda kesyukuran selain mengumpul dana kebajikan untuk membantu penduduk Parlimen Muar.
Dana yang diperoleh akan digunakan bagi menyediakan bakul makanan kepada keluarga memerlukan serta membeli iPad untuk pelajar yang tidak mempunyai akses kepada peranti pembelajaran.
Sehingga semalam, kempen itu berjaya mengumpul RM361,848, sekali gus melepasi sasaran awal RM200,000 yang ditetapkan.