Perintah pengampunan bersyarat Najib: Titah Agong mesti dijunjung, tafsiran undang-undang ikut saluran sah - AMK

Iklan
Khairul Naim berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mesti dijunjung, manakala setiap tindakan kerajaan dan institusi perundangan hendaklah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

SHAH ALAM - Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mesti dijunjung, manakala setiap tindakan kerajaan dan institusi perundangan hendaklah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menegaskan, sebarang persoalan berhubung tafsiran dan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang sah, bukan menerusi tuduhan belum dibuktikan.

Iklan
Iklan

Ketua Biro Guaman dan Aduan Awamnya, Khairul Naim Rafidi berkata, kedaulatan undang-undang menuntut ketelitian, keadilan dan tanggungjawab daripada semua pihak dalam menangani isu berkenaan.

Menurutnya, biro itu memandang serius kekeliruan pelaksanaan perintah berkenaan sehingga menimbulkan dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan Malaysia mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

"Namun, tindakan AGC mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran dan pelaksanaan perintah tidak dengan sendirinya bermaksud berlaku keingkaran terhadap titah Seri Paduka Baginda," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan Peguam Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan kedudukan undang-undang berkenaan.

Iklan

Sehubungan itu, proses penyediaan 'Order of Discharge' wajar diteliti bagi memastikan kandungannya selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Khairul Naim berkata, AMK juga akan menggerakkan laporan polis bagi memohon siasatan terhadap kemungkinan wujud ketidakaturan dalam proses berkenaan, termasuk sama ada terdapat unsur kesalahan.

Menurutnya, tindakan itu bertujuan mengenal pasti punca kekeliruan serta memastikan sebarang salah laku, jika terbukti, ditangani mengikut undang-undang.

"Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan dan memastikan persoalan berkaitan pelaksanaan perintah pengampunan diselesaikan secara tertib menerusi proses perundangan yang sah," tegasnya.