REMBAU - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah mengakui percubaan pertamanya dalam pilihan raya cukup mendebarkan, lebih-lebih lagi apabila diberikan misi besar untuk menawan semula kerusi berkenaan.
Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini, pencalonan tersebut merupakan satu amanah berat daripada parti, namun beliau yakin sokongan ahli serta kekuatan jentera mampu membantu PH mendekati pengundi di seluruh kawasan Paroi.
“Memang mendebarkan kerana ini kali pertama saya bertanding. Kita memikul satu amanah yang berat daripada parti dengan misi untuk mengambil kembali DUN Paroi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau di sini pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penamaan calon buka tirai PRN Negeri Sembilan ke-16
PRN Negeri Sembilan: Penyokong parti 'lawan' sorakan
PRN Negeri Sembilan: Calon PH ziarah pusara isteri sebelum penamaan calon
Ahmad Shahir berkata, fokus utamanya sepanjang tempoh kempen adalah untuk bertemu seramai mungkin penduduk bagi memahami isu serta keperluan mereka.
Menurutnya, usaha mendapatkan kepercayaan pengundi bukan sesuatu yang mudah memandangkan Paroi merupakan antara DUN yang mempunyai jumlah pengundi terbesar di Negeri Sembilan.
“Paroi bagi saya merupakan sebuah DUN yang sangat besar dan mempunyai kira-kira 65,000 pengundi.
“Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Kita perlu membawa tawaran yang dilihat relevan dengan keperluan rakyat pada hari ini,” katanya.
Tambah beliau, jentera PH di Paroi sudah bersedia untuk turun padang dan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penduduk.
“Kita akan cuba bertemu seramai mungkin pengundi dan mendapatkan respons mengenai perkara yang mereka perlukan.
“Daripada situ, kita akan melihat apakah tawaran dan penyelesaian yang boleh dibawa kepada rakyat Paroi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shahir mengakui terkejut apabila mengetahui rakan sepengajiannya, Mohd Nazree Mohd Yunus diumumkan sebagai calon Bersatu di kawasan sama.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Negeri Sembilan: Abdul Hadi, Asyraf Wajdi berjabat tangan, curi tumpuan penyokong
Pemimpin tertinggi BN iringi calon tanding PRN Negeri Sembilan
PRN Negeri Sembilan: Jangan campur aduk adat dengan politik - Tok Mat
PRN Negeri Sembilan: Anthony berdepan calon BN di DUN Chennah
Menurutnya, mereka mula mengenali antara satu sama lain ketika mengikuti pengajian di Nilam Puri, Kelantan sebelum menyambung pengajian bersama di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
“Kami mengambil bidang pengajian yang hampir sama, iaitu sains gunaan dengan pengajian Islam.
“Beliau mengkhusus dalam bidang bioteknologi, manakala saya dalam bidang genetik dan biologi molekul,” katanya.
Ahmad Shahir berkata, mereka juga pernah aktif dalam gerakan mahasiswa serta membawa aspirasi yang sama ketika berada di kampus.
Katanya, Nazree pernah memenangi pemilihan sebagai wakil Fakulti Akademi Pengajian Islam sebelum beliau sendiri bertanding dan menang pada tahun berikutnya.
“Kami sama-sama dalam gerakan mahasiswa dan membawa aspirasi yang sama.
“Hari ini, kami berpencak dalam politik negeri dan negara. Bagi saya, pengalaman ketika menjadi aktivis mahasiswa dahulu boleh digunakan dalam pertandingan kali ini,” katanya.
Beliau berkata, pertembungan dengan rakan yang sudah lama dikenali menjadikan pertandingan di Paroi lebih menarik meskipun mereka kini membawa haluan politik berbeza.
“Saya sangat seronok dapat bersaing dengan rakan yang kita kenali sendiri. Cuma kali ini kami berada dalam parti yang berlainan,” katanya.