KOTA MELAKA - Perikatan Nasional (PN) tidak menganggap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang sebagai kubu yang mustahil ditawan, meskipun kawasan itu selama ini sinonim dengan penguasaan DAP.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peluang merampas kerusi berkenaan terbuka sekiranya PN berjaya menggembleng sokongan pengundi Melayu serta meraih undi protes masyarakat bukan Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Wawasan bagi PRN Melaka berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sambutan masyarakat Cina terhadap PN menerusi program turun padang dan pertemuan dengan pengundi semakin positif.
Menurutnya, perkembangan itu meningkatkan keyakinan parti untuk mencipta kejutan di Kesidang dengan menjadikan calon PN, Albert Kok sebagai taruhan untuk menumbangkan penyandang daripada DAP, Allex Seah yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
"Saya tengok pengundi Cina pun ada perubahan, dalam walkabout yang kita buat dalam sesi jalan-jalan bertemu dengan pengundi, nampak sentimennya semakin positif dan bukan saja positif, sambutannya agak meriah setakat ini.
"Bagi pengundi Cina yang takut undi PN, saya rasa kalau tengok muka Albert sekarang, tak ada rasa takut, handsome lagi. Jadi, saya rasa tak ada apa-apa yang perlu ditakutkan dan kita boleh membuktikan bahawa gelombang biru ini membawa kesejahteraan kepada semua," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan PN DUN Kesidang, di sini.
Wan Saiful berkata, selain sokongan masyarakat Cina dan India, peningkatan jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi turut menjadi faktor penting untuk PN merampas kerusi berkenaan.
Jelasnya, berdasarkan keputusan PRN Melaka 2021, kira-kira 14,000 pengundi di kawasan itu tidak keluar mengundi dan sebahagian besarnya didakwa terdiri daripada pengundi Melayu.
Justeru, beliau yakin peluang PN lebih cerah sekiranya pengundi Melayu keluar beramai-ramai, manakala masyarakat bukan Melayu menggunakan undi mereka untuk menyatakan protes terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan ketika ini.
"Saya merayu juga kepada pengundi-pengundi bukan Melayu, tolonglah tengok prestasi kerajaan sekarang, tunjukkan protes anda kepada kepincangan dan caca merba pentadbiran kerajaan sekarang.
"Kalau ada gabungan antara pengundi Melayu keluar beramai-ramai dan pengundi Cina dan India yang menunjukkan protes kepada kerajaan yang ada sekarang, saya yakin DUN Kesidang ini boleh dijadikan sebagai salah satu yang menyumbang ke arah membirukan seluruh negeri Melaka," ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Wan Saiful berkata, beliau turut memantau perkembangan kempen dua calon Wawasan yang bertanding di Melaka iaitu Dr Mohd Yadzil Yaakub di DUN Bemban dan Albert di Kesidang.
Beliau menyatakan sambutan terhadap gelombang biru yang dibawa BN-PN amat positif dan yakin momentum itu mampu membawa kemenangan kepada gabungan berkenaan di seluruh negeri.
"Saya lihat dari segi sambutan terhadap gelombang biru ini amat positif dan yakin, Insya-ALLAH kalau kita tengok sentimen di seluruh negeri Melaka, nampaknya gelombang biru ini menuju ke arah kemenangan," katanya.
Pada PRN Melaka 2021, Allex Seah daripada PH mempertahankan DUN Kesidang dengan memperoleh 14,769 undi, menewaskan calon BN, Leong Hui Ying yang mendapat 4,532 undi dan calon PN, Patrick Ng Chin Kae dengan 3,124 undi. PH menang dengan majoriti 10,237 undi.
Bagi PRN Melaka kali ini, Kesidang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang Allex Seah (PH-DAP), Albert Kok (PN-Wawasan) dan Dr Bryan Kek Kit Hun (Bersama).