Tular aksi jenayah, tiga rakan didakwa lakukan rompakan bersenjata

Iklan
Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai runcit di Chemor yang videonya tular di media sosial, Mei lalu.

IPOH - Tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai runcit di Chemor yang videonya tular di media sosial, Mei lalu.

Tertuduh, S Barani Tharan, 33; Yuvaneswara, 30; dan M Suntaresswaran, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata parang terhadap seorang lelaki, Phon Tuck Kei, 34, di Jalan Klebang Ria 2, Taman Klebang Ria kira-kira jam 5.55 pagi pada 31 Mei 2026.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa melarikan wang tunai RM850, sebuah tab jenama Redmi dan sebuah telefon bimbit jenama Vivo milik mangsa.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh sekiranya dibenarkan mahkamah.

Iklan

Beliau turut memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam K Nahtan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah sebanyak RM4,000 bagi setiap anak guamnya dengam alasan tertuduh bekerja sebagai buruh kasar dan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga termasuk isteri dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan dua lelaki bersenjatakan parang memasuki premis dan melarikan beberapa barangan.