SEREMBAN - Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan detik penting yang bakal menentukan hala tuju baharu pentadbiran negeri susulan krisis yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat perlu membuat keputusan untuk menentukan semula arah tuju negeri ini yang berdepan ketidaktentuan.
"Pilihan raya negeri ini merupakan satu mandat besar buat rakyat untuk menentukan semula arah tuju negeri yang kita kasihi," katanya.
Ini kerana ujarnya, terlalu banyak polemik yang berlegar sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, keadaan itu akhirnya menuntut satu keputusan besar apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.
"Kita BN memasuki gelanggang ini dengan pelbagai persepsi yang dilemparkan kepada kita. Ada yang menyokong pendirian kita dan ada juga yang masih tertanya-tanya mengapa kita memilih jalan ini.
"Namun pendirian kita jelas. Kita datang dengan jiwa yang besar. Kita bukan datang untuk menambahkan krisis tetapi untuk menamatkan krisis.
"Kita bukan datang untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya memulihkan keyakinan rakyat serta mengembalikan tertib pentadbiran negeri," katanya.
Ahmad Zahid berkata, BN memilih untuk mengembalikan mandat kepada rakyat selepas kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH) didakwa gagal menguruskan keadaan di Negeri Sembilan dengan baik.
Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan merupakan hakim yang paling berhak menentukan masa depan negeri ini.
"Saya percaya rakyat Negeri Sembilan ialah hakim yang paling sah. Rakyatlah penentunya.
"Sama ada negeri ini mahu terus dibelenggu ketidaktentuan atau kembali ke landasan pentadbiran yang lebih stabil, tertib dan berpengalaman, semuanya terletak di tangan rakyat.
"Benar, kami yang memulakan langkah ini apabila 14 ADUN UMNO memulakan langkah. Namun, langkah yang diambil ini adalah satu tindakan yang penuh tanggungjawab.
"Langkah itu kita lakukan dengan penuh pendirian kerana Negeri Sembilan tidak boleh terus dibiarkan bergolak akibat kelemahan kepimpinan yang gagal menjaga tertib politik dan institusi negeri," katanya.