PONTIAN – Penduduk di kawasan pesisir pantai di daerah ini diminta meningkatkan tahap kewaspadaan susulan fenomena air pasang besar yang mula melanda sejak malam Selasa dan dijangka berterusan sehingga Jumaat.
Fenomena air pasang dengan ketinggian antara 3.5 hingga 3.6 meter itu berpotensi menyebabkan beberapa kawasan rendah berhampiran pantai dinaiki air, terutama sekiranya berlaku hujan lebat serentak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baharu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mahadir Mamat berkata, bacaan air pasang besar dijangka mencecah 3.5 meter pada 14 Julai, meningkat kepada 3.6 meter pada 15 Julai sebelum kembali kepada 3.5 meter pada 17 Julai.
Menurutnya, apabila paras air melepasi 3.5 meter, benteng di beberapa kawasan pesisir berisiko dilimpahi air sehingga memasuki kawasan daratan.
"Antara lokasi yang sering terjejas ialah Tanjung Piai, Kukup, Tambak, Benut dan beberapa kawasan lain yang mempunyai benteng dengan ketinggian kurang daripada 3.5 meter.
"Kita mengenal pasti antara enam hingga lapan lokasi berisiko atau 'hotspot' di daerah Pontian, namun jumlah kawasan yang terjejas bergantung kepada keadaan cuaca semasa," katanya ketika ditemui selepas tinjauan fenomena air pasang besar.
Beliau berkata, sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar, lebih banyak kawasan rendah dijangka mengalami limpahan air.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti di kawasan pantai dan tepi laut sepanjang tempoh fenomena berkenaan.
"Air yang melimpahi benteng boleh menghasilkan arus yang kuat dan membahayakan orang awam, terutama mereka yang berada berhampiran pantai.
"Kami juga mendapati masih ramai pengunjung berada di kawasan pantai dan sebahagian besar tidak menyedari fenomena air pasang besar sedang berlaku serta dijangka berterusan selama tiga hari," katanya.
Menurut beliau, JBPM telah menempatkan seramai 12 anggota untuk menjalankan pemantauan di lokasi berisiko dengan dibantu beberapa aset termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Multi Purpose Rescue Service (MRS).
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya memindahkan kenderaan yang diparkir berhampiran pantai ke kawasan lebih selamat bagi mengelakkan kerosakan sekiranya berlaku limpahan air.
"Pada paras air 3.5 hingga 3.6 meter, kenaikan air lazimnya tidak berlaku secara mendadak, namun ia masih mampu menenggelami kawasan parkir berhampiran pantai," ujarnya.