Mahasiswa UiTM santuni 136 keluarga Orang Asli

Iklan
Mahasiswa iCEPS bersama Tok Batin, Wali Bin Aring di Kampung Orang Asli Changkat Bintang dan agensi sukarelawan yang terlibat seperti Sekreteriat Pengakap Kelana Daerah Hulu Selangor (SPKD HS), Penggerak Belia Hulu Selangor (PEBS) dan penduduk kampung.

Mahasiswa iCEPS bersama Tok Batin, Wali Bin Aring di Kampung Orang Asli Changkat Bintang dan agensi sukarelawan yang terlibat seperti Sekreteriat Pengakap Kelana Daerah Hulu Selangor (SPKD HS), Penggerak Belia Hulu Selangor (PEBS) dan penduduk kampung.

HULU SELANGOR – Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan komuniti apabila 7 mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Pengurusan Acara (Kepujian) berjaya menyantuni 136 keluarga Orang Asli menerusi program Bridging Hearts: Empowering Orang Asli Communities di Kampung Orang Asli Changkat Bintang, Hulu Selangor baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Program yang dilaksanakan melalui kursus Event Public Relations and Protocol (EVM502) itu menjadi manifestasi peranan iCEPS dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah peka terhadap keperluan masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti pembangunan sosial dan pengukuhan hubungan komuniti.

Mengangkat tema “Building Bridges, Empowering Communities”, program berkenaan memberi fokus kepada usaha memperkasakan komuniti melalui pendekatan inklusif yang menekankan nilai empati, kesejahteraan sosial serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya.

Iklan

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka bagi mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti Orang Asli. Antaranya termasuk sesi pertukaran budaya yang membuka ruang interaksi lebih dekat serta membantu kedua-dua pihak memahami adat, nilai dan cara hidup masing-masing.

Turut mendapat perhatian ialah sesi Health and Hygiene Awareness yang memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan mulut dan gigi. Program kesedaran tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor yang berkongsi ilmu serta panduan praktikal berkaitan amalan kesihatan harian.

Iklan

Kanak-kanak juga tidak dipinggirkan apabila pelbagai aktiviti interaktif seperti sesi mewarna disediakan bagi merangsang kreativiti dan perkembangan emosi mereka, di samping mewujudkan suasana mesra antara mahasiswa dan keluarga komuniti.

Program berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai agensi strategik, terutamanya Pejabat Timbalan Perdana Menteri selaku penaja utama, serta agensi-agensi lain termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Hulu Selangor, Sekretariat Pengakap Kelana Daerah Hulu Selangor (SPKDHS) dan Penggerak Belia Selangor (PEBS) Hulu Selangor.

Ketua Pusat Pengajian iCEPS UiTM, Dr Ramita Abdul Rahim, berkata program seumpama itu selaras dengan komitmen universiti dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat.

Sementara itu, penasihat program yang juga pensyarah UiTM, Nur Farhana Mohd Sah, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang menggalakkan mahasiswa mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan kompetensi akademik mereka bagi membantu menyelesaikan isu serta keperluan masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan SULAM bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran autentik kepada pelajar, malah membentuk graduan yang lebih berempati, bertanggungjawab dan peka terhadap realiti kehidupan komuniti.

“Mahasiswa tidak hanya belajar di dalam bilik kuliah, tetapi turut berpeluang menyumbang kepada masyarakat melalui pengalaman lapangan yang bermakna. Melalui SULAM, mereka dapat menghubungkan teori dengan amalan sebenar sambil memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan,” katanya.

Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan hubungan antara universiti dan komuniti terus diperkukuh, sekali gus menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berjiwa masyarakat.