Saksi dakwa sebahagian RM13.7 juta dipindah kepada Mamfor disumbang kepada Bersatu

Iklan
Muhyiddin hadir di Mahkamah Tinggi pada Selasa bagi perbicaraan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa sebahagian daripada wang berjumlah RM13.7 juta yang dipindahkan daripada sebuah syarikat milik keluarga kepada Mamfor Sdn Bhd akhirnya disumbangkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengarah Sutracom Sdn Bhd, Shahrin Shamsuddin berkata, perkara itu diketahui selepas perbincangan keluarga yang diadakan secara dalam talian susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketika membacakan pernyataan saksi, Shahrin, 41, berkata, wang tersebut pada asalnya dipindahkan daripada akaun Sutracom ke akaun Mamfor iaitu syarikat milik abangnya, Shahradzi, antara 13 September 2021 hingga 14 November 2022.

"Saya hanya dimaklumkan sebahagian wang yang dipindahkan, telah disumbangkan kepada Bersatu oleh abang saya.

Iklan

"Bagaimanapun, saya tidak tahu jumlah yang disumbangkan atau berapa banyak digunakan bagi menjelaskan hutang lapuk syarikat keluarga serta perbelanjaan operasi kerana saya menyerahkan urusan itu kepada beliau," katanya.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-15 (SP15) berkata demikian pada perbicaraan membabitkan tujuh pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek di bawah Program Jana Wibawa yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor serta Datuk Azman Yusoff.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Shahrin memberitahu bahawa bapanya pernah mencadangkan supaya syarikat keluarga mengemukakan surat menyatakan minat kepada Pejabat Perdana Menteri dan kementerian berkaitan bagi mendapatkan pertimbangan menyertai projek Lingkaran Pulau Indah Fasa Tiga di Klang.

Katanya, tindakan menghantar surat sedemikian merupakan amalan biasa dalam industri pembinaan, terutama selepas kerajaan mengumumkan projek baharu.

Beliau berkata, Sutracom menghantar surat bertarikh 5 Mac 2021 kepada Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri bagi memohon kelulusan menyertai tender pra kelayakan projek berkenaan, manakala surat itu disediakan dan ditandatangani oleh Shahradzi.

Katanya, selain Sutracom, sebuah lagi syarikat keluarga, Majulia Sdn Bhd turut mengemukakan permohonan bagi projek sama.

Shahrin berkata, syarikatnya juga dimaklumkan bahawa projek itu telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai agensi penyelia.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Rabu.