PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan memandu kereta jenis Proton X70 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang p-hailing, dua bulan lalu.
Pesara swasta, Fong Heng Leong, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Natasya Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memandu kereta tersebut secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Azim Haikal Noor Aziddin, 22, di Jalan 17/21 di sini, jam 1.42 petang pada 5 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan Seksyen 41(2) dan (3) akta sama, orang yang disabitkan kesalahan, akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussoff sementara tertuduh diwakili peguam, Suraj Singh.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat mangsa pada 21 September depan.
Pada 6 Mei lalu, seorang lelaki warga emas yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan penunggang motosikal, dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Media sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi kejadian.
Kenderaan dipandu lelaki warga emas itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan kemudian melanggar motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia.