JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memandang serius kebimbangan orang ramai berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan serta siasatan secara menyeluruh terhadap perkara berkenaan.
"Siasatan perlu meliputi identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, dokumen perjalanan serta penggunaan pasport kedua, jenis pas dan tujuan kemasukan ke Malaysia, selain memastikan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, Onn Hafiz berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan turut diminta meneliti status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan mengikut peruntukan undang-undang negara.
Beliau berkata, di peringkat negeri pula, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.
"Ia termasuk pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta apa-apa keperluan perundangan atau peraturan lain yang sedang berkuat kuasa," katanya.
Onn Hafiz berkata, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, mahupun sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus bertindak untuk melindungi kepentingan Johor serta mempertahankan kedaulatan negara.
Sebelum ini, isu Network School di Forest City menjadi tular di media sosial selepas timbul dakwaan bahawa program berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk individu yang didakwa warga Israel menggunakan pasport negara kedua.