HASRAT rakyat Malaysia untuk melihat bekas tentera menjadi warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akhirnya menjadi kenyataan.
Seramai 16 orang veteran tentera telah melaporkan diri secara rasmi sebagai warden lelaki di 10 MRSM baru-baru ini.
Masing-masing ditempatkan di MRSM Besut dan Kuala Berang di Terengganu, Balik Pulau (Pulau Pinang), Muadzam Shah (Pahang) Sultan Azlan Shah dan Parit (Perak), Serting (Negeri Sembilan), Kubang Pasu (Kedah), Jeli (Kelantan) serta Muar (Johor).
Sebanyak 16 lagi veteran tentera wanita juga melaporkan diri pada minggu ini bagi melengkapkan tugasan sebagai warden sepenuh masa di 10 maktab berkenaan.
Difahamkan, lebih ramai lagi veteran lelaki dan wanita akan melaporkan diri di semua 58 MRSM seluruh negara bermula 1 Januari 2027 yang mana setiap maktab berkenaan diperuntukkan empat warden iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Sebagaimana semua sedia maklum, pengambilan veteran sebagai warden MRSM adalah bertujuan untuk menangani isu buli yang bermaharajalela sejak sekian lama dalam institusi pendidikan berkenaan.
Di samping itu, ia juga bertujuan mengurangkan beban guru yang sebelum ini terpaksa membahagikan masa mengajar di dalam kelas dan memantau pelajar di asrama selepas waktu persekolahan .
Namun, fokus utama pengambilan veteran adalah memutuskan rangkaian buli dalam kalangan pelajar sekali gus menghapuskan amalan tersebut yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai tradisi turun-temurun MRSM.
Ternyata, inisiatif kerajaan dalam usaha menangani buli di MRSM itu berada di landasan yang tepat dan memberi harapan kepada ibu bapa pelajar untuk melihat anak mereka menuntut ilmu dengan selamat.
Pengambilan veteran tentera sebagai warden sebenarnya telah dibincangkan sejak sekian lama terutamanya apabila insiden buli melibatkan pelajar MRSM menjadi tajuk utama muka depan akhbar tempatan.
Majoriti rakyat yakin dengan mengambil veteran menggantikan guru yang sebelum ini menggalas jawatan warden di institusi berkenaan berkenaan mampu menguruskan pelajar-pelajar nakal.
Kualiti
Cadangan tersebut disuarakan berdasarkan kualiti yang dimiliki oleh seseorang anggota tentera secara amnya.
Wajah mereka yang bengis, tubuh mereka yang tegap dan disiplin mereka yang tinggi ketika menjalankan tugas diyakini mampu menimbulkan rasa gerun kepada sesiapa sahaja.
Jangankan budak-budak, orang dewasa pun ‘goyang’ bila berdepan dengan mereka terutama sekali apabila melakukan kesilapan.
Personaliti mereka itu bukan dibuat-buat, sebaliknya terbentuk hasil disiplin tinggi dan latihan keras dilalui sepanjang berkhidmat dalam tentera.
Atas sebab itu, ramai yang memberikan cadangan agar mengambil veteran sebagai warden sepenuh sebagai salah satu cara untuk menangani masalah buli di MRSM.
Kelebihan mengambil mereka sebagai warden sepenuh masa itu juga dilihat mampu membentuk pelajar menjadi generasi yang berdisiplin dan bermoral.
Persoalannya, bagaimanakah caranya veteran yang diambil itu melaksanakan tanggungjawab digalas? Adakah pendekatan mereka sama seperti ketika berada di dalam kem tentera ataupun lebih berhemah sehingga mampu menarik perhatian pelajar.
Maklum sajalah, ‘acik-acik’ tentera ini pun seorang ayah dan ibu juga. Tentu sahaja mereka mempunyai sisi lembut dalam mendidik anak-anak.
Apa yang pasti kehadiran veteran di MRSM sebagai warden sepenuh masa dapat melegakan ibu bapa yang selama ini merasa gelisah setiap kali munculnya berita berkaitan buli di mana-mana MRSM.
Tapi bagaimana pula mereka menangani masalah tersebut jika pembulinya terdiri daripada anak-anak VVIP kelak? Adakah mereka akan menjadi ‘lemah’ apabila berdepan dengan golongan berkenaan terutamanya yang mempunyai kuasa dalam pentadbiran negara?
Dalam hal ini, diharapkan veteran kekal berdiri teguh mempertahankan integriti sebagai seorang yang berdisiplin dan bermaruah sebagaimana ketika berkhidmat mempertahankan negara sebelum ini.
*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub Editor Sinar Harian