PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan pembebasannya bukan sekadar kemenangan peribadi, sebaliknya kemenangan kepada prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan walaupun terpaksa melalui ujian yang panjang.
Menerusi satu hantaran di media sosial pada Isnin, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, lebih enam tahun beliau melalui proses perundangan tanpa melarikan diri, menangguhkan prosiding atau meminta layanan istimewa.
"Hari ini, mahkamah tertinggi negara telah membuat keputusan. Pembebasan saya kekal tetapi hari ini bukan sekadar tentang kebebasan saya. Ini tentang satu prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan, walaupun harga yang perlu dibayar sangat mahal," katanya.
Menurut Syed Saddiq, beliau percaya Malaysia perlu dipimpin oleh individu yang sanggup kehilangan kedudukan demi mempertahankan prinsip, bukannya mengorbankan prinsip untuk mengejar jawatan.
Beliau berkata, walaupun perjalanan tersebut hampir merampas masa, nama baik dan masa depannya, ia tidak pernah mematahkan keyakinannya terhadap Malaysia.
"Saya melawan bukan kerana saya membenci sesiapa. Saya melawan kerana terlalu mencintai Malaysia. Perjalanan ini hampir merampas banyak daripada saya... masa, nama baik dan masa depan tetapi ia tidak pernah merampas kepercayaan saya terhadap Malaysia," ujarnya.
Dalam hantaran sama, Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, keluarga, tunang, pasukan guaman, sahabat, rakyat Muar serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan beliau sepanjang proses perbicaraan.
Beliau turut mengakui pengalaman itu mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan hanyalah sementara, manakala prinsip, maruah serta khidmat kepada rakyat merupakan legasi yang akan terus dikenang.
Syed Saddiq turut menegaskan beliau tidak menyimpan sebarang dendam susulan keputusan mahkamah tersebut.
"Hari ini bukan hari untuk membalas dendam. Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar. Selepas ini, saya terus ke Parlimen kerana perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya.
"It has always been Malaysia first. Dulu, sekarang dan selamanya," katanya.
Terdahulu Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskan Syed Saddiq atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menerusi keputusan majoriti 2-1, dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat ahli politik berusia 34 tahun itu, wajar dilepas dan dibebaskan.
Sementara Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel tiga hakim, menjadi satu-satunya hakim yang berbeza pandangan apabila mendapati Syed Saddiq bersalah.
Keputusan majoriti itu menyaksikan rayuan akhir pendakwaan ditolak, sekali gus membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.
ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan majoriti 2-1, Syed Saddiq kekal bebas
'Kami tahu perancangan Syed Saddiq, harap dapat diteruskan'- Hakim berseloroh
'Terima kasih sayang-sayang rakyat Malaysia' - Ibu syukur Syed Saddiq lepas, bebas
Bella tetap bersama walaupun dalam tempoh saya masih pesalah' - Syed Saddiq
'Nasi minyak is coming soon!' - Space Dollah
Keluarga Syed Saddiq jamu nasi lemak, lempeng kepada media dan petugas mahkamah
'Doakan undang-undang lindungi semua, sama ada kawan atau lawan' - Syed Saddiq