SHAH ALAM – Naratif baharu serta tatakerja UMNO Johor dan UMNO Malaysia menjadi antara faktor penting di sebalik kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, pendekatan itu memungkinkan tercetusnya titik baharu dalam perjuangan UMNO seperti yang pernah ditampilkan parti berkenaan sebelum ini.
“Naratif baharu dan tatakerja UMNO Johor khususnya serta UMNO Malaysia secara amnya kini akan memberikan dorongan baharu, bukan sahaja kepada rakyat, bahkan diharapkan turut mendorong ahli UMNO sendiri untuk mengambil ketetapan bagi mengubah pendekatan dan cara mendampingi rakyat mulai sekarang.
“Saya juga amat yakin bahawa ini merupakan titik permulaan yang dapat mempamerkan kebolehan ahli muda kita untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan seterusnya negara apabila tiba masanya nanti.
“Nafas baharu yang ditiupkan ke dalam jasad UMNO sekarang mengingatkan saya kepada UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor: 55 calon hilang wang deposit
[RASMI] Keputusan penuh 56 kerusi PRN Johor ke-16
BN menang besar 48 kerusi DUN Johor - SPR
[RASMI] PRN Johor: SPR umum BN menang besar 48 kerusi DUN Johor
[RASMI] PRN Johor: Maszlee menang DUN Puteri Wangsa
SPR teliti isu muat naik kertas undi sudah dipangkah di media sosial
Anwar ucap tahniah kepada BN, janji Kerajaan Persekutuan terus bantu Johor
[RASMI] PRN Johor: Pas hilang kubu terakhir
PRN Johor: Kekalahan PN sudah dijangka, pengerusi perlu bertanggungjawab letak jawatan
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan rakan seperjuangannya yang berjaya mengembalikan kepercayaan pengundi, khususnya di Johor, kepada UMNO dan BN.
Ujarnya, atas faktor kesihatan, beliau tidak berpeluang menyertai rakan UMNO yang lain untuk turun padang berkempen.
“Ternyata, ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dalam tempoh singkat, tetapi usaha itu dilaksanakan setiap hari dan minggu sehingga berbulan-bulan serta bertahun-tahun bersama Bangsa Johor sejak diberikan mandat untuk berkhidmat di tempat bermulanya UMNO.
“Saya mengenali Onn Hafiz dengan lebih dekat apabila beliau dan pasukannya tampil secara sukarela untuk bersama-sama saya dalam pemilihan Presiden UMNO pada 2018.
“Sejak itu, saya dapat melihat betapa komited dan bersungguh-sungguhnya beliau bekerja bersama rakan-rakan di sekelilingnya. Ternyata, beliau membuktikan bahawa pendekatan itu merupakan formula kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri kali ini,” katanya.
Katanya, beliau berbangga melihat barisan baharu dalam parti itu yang berani menyesuaikan diri, namun tidak menyimpang daripada landasan asal perjuangan UMNO.
Ujarnya, susulan kemenangan BN di Johor, kemungkinan besar rakyat di Negeri Sembilan dan seterusnya Melaka juga dapat menilai serta memberikan peluang kepada BN dan UMNO dengan mandat baharu pada 1 Ogos ini.
“Saya merasakan gelombang perubahan yang mengembalikan kepercayaan kepada UMNO kini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa UMNO dan BN lebih progresif serta peka dalam menangani masalah harian yang dihadapi rakyat,” katanya.