BAGI rakyat Mesir, nama Hossam Hassan bukanlah sesuatu yang asing. Beliau merupakan ikon bola sepak negara yang mencipta sejarah selama lebih empat dekad.
Bagi sesetengah pihak, beliau dianggap sebagai penyerang terhebat dan simbol pemain bola sepak yang tidak pernah mengenal erti menyerah kalah.
Kelincahannya memburu gol dan semangat juang yang tinggi menjadikan Hassan dikenang sebagai pejuang sejati di atas padang.
Sama ada disanjung atau dikritik, kehadiran Hassan, 59, sentiasa mencuri perhatian dalam arena bola sepak Mesir.
Penampilan The Pharaohs di pentas Piala Dunia 2026 meraih perhatian ramai selepas skuad kendalian Hassan itu berdepan pelbagai kontroversi yang mencetuskan perdebatan selain timbul dakwaan pasukan itu 'dianak tirikan' Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas tewas kepada skuad Argentina ketika pusingan kalah mati.
Impian jurulatih berpengaruh itu untuk mencipta satu lagi sejarah dalam bola sepak Mesir pada edisi 2026 tidak kesampaian meskipun sebelum ini beliau pernah membantu negara itu layak ke Piala Dunia 1990 di Itali.
Walaupun gagal melangkah lebih jauh, kepercayaan terhadap Hassan kekal utuh apabila beliau diberi mandat untuk terus membimbing The Pharaohs selepas Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) memperbaharui kontrak beliau hingga 2030.
Penjaring terbanyak
Dilahirkan pada 10 Ogos 1966, Hassan memulakan karier profesionalnya bersama Al Ahly pada 1984. Beliau kemudiannya beraksi untuk beberapa kelab termasuk PAOK (Greece), Neuchatel Xamax (Switzerland), Al Ain (Emiriah Arab Bersatu), Zamalek, Al Masry, Tersana dan Al Ittihad Alexandria.
Tidak ramai pemain bola sepak Mesir mampu mencipta kejayaan dengan menyarung jersi merah dan putih, namun Hassan berjaya melakukannya.
Beliau kekal sebagai antara segelintir pemain yang menjadi ikon di dua kelab gergasi Mesir iaitu Al Ahly dan Zamalek Sporting Club (SC).
Sepanjang karier bersama kelab, Hassan menjaringkan 168 gol dalam Liga Perdana Mesir, menjadikannya penjaring kedua terbanyak dalam sejarah liga tersebut.
Sebanyak 109 gol liga bersama Al Ahly turut menyaksikan namanya terikat dengan Mahmoud El Khatib sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dalam saingan liga.
Beliau juga masih memegang rekod penjaring terbanyak dalam perlawanan liga Cairo Derby dengan sembilan gol menentang musuh tradisi paling sengit Mesir.
Hassan berjaya menjulang 41 trofi termasuk rekod 14 kejuaraan Liga Mesir. Bersama saudara kembarnya, Ibrahim Hassan, beliau turut mencipta sejarah sebagai satu-satunya pemain yang memenangi Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) dalam dua dekad berbeza bersama Al Ahly (1987) dan Zamalek (2002).
Cipta legasi
Antara 1985 hingga 2006, beliau secara rasmi membuat 176 penampilan dan menjaringkan 69 gol untuk Mesir, sekali gus menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman.
EFA bagaimanapun menyatakan terdapat tambahan 20 penampilan antarabangsa dan tujuh gol yang tidak dikira dalam rekod rasmi FIFA atas faktor pentadbiran yang menjadikan jumlah keseluruhannya 196 perlawanan dengan 76 gol.
Detik paling bersejarah dalam kariernya adalah pada 17 November 1989. Ketika berdepan Algeria, Hassan menjaringkan gol penting yang membawa skuad kebangsaan ke Piala Dunia FIFA 1990 di Itali, sekali gus menamatkan penantian 56 tahun negara itu untuk kembali ke pentas bola sepak terbesar dunia.
Gol tersebut kekal sebagai antara detik paling ikonik dalam sejarah sukan Mesir.
Hassan terus mencipta legasi dan beraksi dalam tujuh edisi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selain membantu negara itu muncul juara pada 1986, 1998 dan 2006.
Pada edisi 1998, beliau muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas menyumbat tujuh gol.
Pada usia 39 tahun, Hassan mengukir namanya dalam sejarah AFCON apabila menjadi pemain paling berusia yang menjaringkan gol dalam kejohanan itu ketika menentang Republik Demokratik Congo pada suku akhir edisi 2006.
Daripada seorang penyerang yang menggegarkan gawang lawan dengan jersi nombor 9, Hassan kini berdiri di tepi padang membawa harapan generasi baharu The Pharaohs. Legasinya bukan sekadar gol dan trofi, tetapi tentang semangat juang yang terus menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Mesir. - Agensi