IPOH - Kerajaan Perak menyatakan komitmen untuk terus menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti dan selamat kepada rakyat meskipun industri perumahan berdepan tekanan peningkatan kos binaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cabaran tersebut melibatkan kenaikan kos bahan binaan, tenaga kerja, penyediaan infrastruktur serta pematuhan teknikal.
“Kerajaan negeri menyedari sektor perumahan berdepan dengan cabaran peningkatan kos.
“Bagaimanapun, usaha menyediakan kediaman pada harga munasabah akan terus digerakkan tanpa mengabaikan aspek kualiti dan juga keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Astana Chemor di sini pada Ahad.
Pembangunan yang terletak berhampiran Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan itu merupakan projek Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan dibangunkan Forte Emerald Sdn Bhd, merangkumi 184 unit rumah dengan 114 unit dalam fasa satu dan 70 unit lagi harga terbuka bagi fasa dua.
Mengulas lanjut, Saarani menggesa pemaju hartanah agar memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan di kawasan nod pertumbuhan negeri.
Katanya, apabila kawasan industri mula beroperasi, keperluan terhadap kediaman akan meningkat, sama ada untuk disewa atau dimiliki.
“Kalau tempat kerja jauh dari kediaman, ia menyukarkan. Sebab itu kita minta Rehda (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan) dan pemaju melihat kawasan seperti Tanjung Malim, Lumut, Perak Tengah dan Kerian.
"Saya jangka di Kerian, pembangunan perumahan akan berkembang hingga ke Selama bagi menampung keperluan pekerja, termasuk sekitar SVTP," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pembangunan Astana Chemor memperlihatkan pendekatan kerajaan negeri dalam memastikan pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, penyediaan perumahan dan pembangunan kemudahan asas bergerak seiring.
Ujar beliau, ia juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan kediaman yang lebih tersusun, selesa dan sesuai dengan kemampuan rakyat selaras dengan keutamaan perumahan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Matlamatnya supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh rakyat negeri Perak,” katanya.