Ops Strike dilancar tahun depan, perkasa program antidadah sekolah

Iklan
Mohd Azlan (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Program ASCEND dan Program SAFE di Dewan Tuanku Bainun, SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Isnin.

IPOH - Program membanteras penyalahgunaan dadah di sekolah akan diperkasakan menerusi pelaksanaan Ops Strike yang dirancang bermula tahun depan bagi memastikan usaha pencegahan dilakukan secara lebih sistematik dan berterusan.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, selama ini program-program pencegahan dadah dilaksanakan secara bermusim atau hanya ketika minggu antidadah namun selepas ini akan disusun secara berjadual bagi setiap daerah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pemadam Perak kini sedang memuktamadkan modul yang akan menjadi kerangka pelaksanaan Ops Strike di sekolah rendah dan menengah seluruh negeri.

"Modul ini dijangka siap dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi sebelum kita mulakan latihan kepada jurulatih yang dipilih daripada Pemadam daerah pada tahun ini.

Iklan

"Antaranya jurulatih itu termasuklah Setiausaha Pemadam daerah yang mungkin terdiri daripada penghulu atau ketua kampung. Kita akan kenal pasti potensi mereka untuk menjadi jurulatih di daerah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Aspirasi Murid Cemerlang Tanpa Dadah (ASCEND) dan Program Kerangka Anti-Buli Sekolah untuk Pemerkasaan (SAFE) di Dewan Tuanku Bainun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun di sini pada Isnin.

Iklan

Mohd Azlan berkata, jurulatih terbabit akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membolehkan program pencegahan dadah dilaksanakan secara berkala di sekolah.

Katanya, kerangka berkenaan turut akan mengambil input daripada PPD khususnya Bahagian Hal Ehwal Murid, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Kita mahu setiap daerah mempunyai takwim bermula tahun depan dengan menetapkan jumlah sekolah yang akan disasarkan. Dengan adanya penceramah tetap di daerah, lebih mudah untuk kita melaksanakan program berdasarkan kerangka yang disediakan.

"Kita dapati program sebelum ini banyak bersifat one-off. Ini tidak boleh. Program perlu dilaksanakan secara sistematik dan berpanjangan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, Program ASCEND yang direka pihak SMK Raja Permaisuri Bainun mempunyai kesinambungan dengan usaha Pemadam dalam meningkatkan kesedaran murid mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Katanya, Pemadam Perak turut bercadang menyalurkan sedikit dana kepada pihak sekolah selain menghantar penceramah bagi membantu memperkukuhkan pelaksanaan program tersebut.

Mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengambil langkah proaktif dalam menangani isu berkenaan.

"Cabaran kita sekarang termasuk dadah jenis baharu, termasuk bahan yang dimasukkan ke dalam vape. Kerajaan negeri juga sudah mengharamkan penjualan vape di Perak.

"Apa pun, Pemadam akan terus bekerjasama rapat dengan pihak sekolah untuk mengatasi perkara ini," katanya yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, usaha menangani penyalahgunaan dadah dan buli termasuk buli siber perlu dilaksanakan secara berterusan kerana kempen kesedaran tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu program selesai.

Menurutnya, elemen berkaitan hukuman terhadap kesalahan terbabit juga perlu diterapkan kepada pelajar sebagai langkah pencegahan.

"Program kesedaran ini tidak boleh terhenti. Walaupun kita adakan program besar, kes buli dan dadah masih berlaku. Namun dalam masa sama, kita berharap statistik itu dapat diturunkan.

"Kita bukan mahu menakutkan mereka, tetapi perlu ada sedikit elemen mengenai hukuman yang bakal diterima supaya mereka tidak menghampiri zon buli dan dadah," katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan lebih besar dalam memantau perkembangan anak-anak dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak sekolah, jabatan atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).