IPOH - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian ugutan terhadap seorang pemandu menggunakan sebatang kayu di Jalan Ipoh-Gopeng dekat Simpang Pulai, pada 16 September lalu yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan insiden tersebut yang berlaku jam 4.56 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa mendakwa kenderaannya dihimpit sebuah Toyota Vios sebelum tercetus perselisihan faham selepas dia membunyikan hon.
"Seorang daripada dua lelaki yang keluar dari kenderaan berkenaan didakwa telah mengacukan sebatang kayu ke arah abang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, insiden itu turut dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) dan telah tular di platform Threads.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
"Usaha mengesan individu yang terlibat sedang dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mengawal emosi dan tidak bertindak agresif ketika berdepan sebarang perselisihan faham di jalan raya.