IPOH - Nasib dua beradik yang kehilangan ibu dalam kemalangan jalan raya, Februari lalu terbela apabila mereka layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Allahyarham Faridah Hanum, 52, maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta ketika pulang selepas menghantar anak ke tempat kerja di kawasan Bandar Botani pada 27 Februari lalu.
Pengarah PERKESO Negeri Perak, Anthony Arul Dass berkata, hasil semakan mendapati Allahyarham yang juga ibu tunggal merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah menerusi Skim LINDUNG Kasih.
Menurutnya, meskipun tempoh perlindungan arwah telah tamat pada 30 November 2025, pencarum skim berkenaan masih dilindungi dalam tempoh tambahan selama lapan bulan bagi tuntutan berkaitan keilatan dan kematian.
"Semakan kita mendapati, waris arwah layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 yang diserahkan kepada anak sulung, Mohamad Zulhilmi Khairul Anuar, 29, bagi menampung urusan pengebumian.
"Dua lagi anak arwah yang masih menuntut iaitu Nur Qurratul Aini, 18, dan Nur Arifah Amani, 16, pula layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak RM180 sebulan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, bayaran pencen itu akan diterima sehingga mereka berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama, mengikut mana yang terdahulu.
Pihaknya berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga berkenaan dan membantu menghubungkan mereka dengan agensi berkaitan melalui platform Social Synergy.
Terdahulu, Anthony bersama Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing menyantuni keluarga berkenaan di kediaman mereka di Taman Pinji Mewah di sini menerusi program Ziarah Prihatin bersama PERKESO.
Dalam kunjungan itu, selain penyerahan bayaran faedah, keluarga terbabit turut menerima sumbangan kotak prihatin mengandungi barangan keperluan dapur.