KOTA TINGGI – Hari bahagia yang dinanti sejak hampir setahun lalu bertukar menjadi kenangan bermakna buat sepasang pengantin baharu apabila sempat menunaikan tanggungjawab membuang undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini pada Sabtu.
Pasangan berkenaan, Fifi Nur Khairin Tamrin, 24, ditemani suaminya, Muhammad Arif Fahmi Nor Azli, 28, mencuri perhatian orang ramai apabila hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Sungai Sayong sejurus selesai majlis akad nikah.
Katanya, mereka diijabkabulkan kira-kira jam 9 pagi sebelum bergegas ke pusat mengundi sekitar jam 10 pagi bagi menunaikan tanggungjawab.
"Mulanya memang sedih juga sebab takut majlis tidak dapat diteruskan, tetapi kami buat keputusan untuk kekalkan perancangan.
"Memang kelam-kabut sedikit kerana selepas akad nikah kami hanya sempat mengambil beberapa keping gambar sebelum terus datang mengundi. '
"Yang penting, sebagai rakyat kita perlu menunaikan tanggungjawab dan memilih pemimpin terbaik,” katanya.
Menurutnya, pengalaman hadir mengundi dengan busana nikah berona putih gading menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.
“Memang malu juga sebab ramai yang memandang, tetapi bukan selalu dapat melalui pengalaman seperti ini.
“Ini momen yang cukup bersejarah. Sampai bila-bila saya akan ingat kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari perkahwinan sendiri,” katanya.