[VIDEO] Calon PH dakwa PACA parti lawan catat nombor siri kertas undi

Iklan

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tee Boon Tsong, mendakwa terdapat ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) parti lawan yang mencatat nombor siri kertas undi pengundi di dua pusat mengundi.

Boon Tsong (kiri) dan Jia Lee menunjukkan kertas catatan oleh PACA

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian itu dikesan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera dan Sekolah Agama Taman Bukit Indah.

Beliau mendakwa tindakan berkenaan berisiko mendedahkan maklumat pengundi dan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Iklan

"Saya tahu mereka jarang bertugas dan tidak faham seksyen (kesalahan) yang dilakukan. Ramai yang saya tanya, sepatutnya mereka tahu apabila sudah menandatangani borang merah jambu (Borang Pink), maknanya mereka bersetuju untuk tidak menyerahkan sebarang maklumat keluar dari pusat mengundi.

"Saya simpati juga kepada ejen-ejen dari sebelah sana (pihak lawan) yang mungkin tidak faham (prosedur). Saya harap kalau boleh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penerangan kepada semua Ketua Tempat Mengundi (KTM) supaya pilihan raya kali ini dapat berjalan dengan lebih lancar dan bersih," katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi SK Taman Sutera pada Sabtu.

Iklan

Boon Tsong berkata, setakat ini beliau belum membuat laporan polis, namun tidak menolak kemungkinan berbuat demikian sekiranya tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa dalam tempoh terdekat.

"Saya belum membuat laporan polis. Selepas ini saya akan melihat sekiranya tindakan tidak diambil dalam tempoh sejam atau dua jam lagi, mungkin pihak kami akan membuat laporan polis.

"Saya kasihan juga kepada ejen yang memang tidak faham. Apabila saya beritahu bahawa jika dia melanggar Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya, dia boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau dipenjara selama dua tahun. Mereka tidak dilatih dengan baik.

"Saya harap SPR dapat memaklumkan kepada semua KTM di kawasan Perling mahupun di seluruh Johor supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, Ejen Pilihan Raya calon PH, Lim Jia Le, mendakwa PACA parti lawan mencatat nombor siri setiap pengundi yang hadir mengundi dalam satu senarai semakan (tally sheet) yang disediakan oleh parti.

"Dengan nombor siri itu, kita boleh mengenal pasti identiti pengundi seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor siri pengundi.

"Kesalahan ini memang sangat serius. Jadi, kita membantah perbuatan ini dengan sangat tegas," katanya.