JOHOR BAHRU - Faktor usia bukan penghalang buat seorang pesara untuk terus menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila memandu sendiri kereta ke pusat mengundi pada Sabtu.
Said Kamit, 88, berkata, dia datang bersendirian dengan memandu kereta Perodua Kancil ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 2, Skudai bagi membuang undi.
Menurutnya, dia masih mampu memandu sendiri walaupun sudah berusia dan gembira kerana berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Saya gembira kerana sudah menunaikan tanggungjawab. Harap calon pilihan saya menang dan menjadi wakil rakyat di kawasan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Said yang berasal dari Pontian dan kini menetap di Taman Universiti berkata, sepanjang hayatnya dia hanya dua kali tidak mengundi ketika zaman mudanya.
Beliau turut meluahkan rasa gembira melihat kehadiran orang ramai di pusat mengundi, termasuk warga emas dan golongan muda yang sama-sama keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Seronok tengok ramai orang datang mengundi. Warga emas dan anak muda pun sama-sama keluar tunaikan tanggungjawab," katanya.