JOHOR BAHRU - Demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, seorang pekerja di Singapura keluar rumah seawal jam 6.30 pagi sebelum memulakan tugas pada hari pengundian.
Sri Sangkar Gopalkrishnan, 43, berkata, dia yang menetap di Gelang Patah tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 2, Skudai pada jam 7.10 pagi.
Menurutnya, dia perlu mengundi lebih awal kerana waktu kerjanya bermula pada jam 8.30 pagi di Singapura sebagai pembantu gudang.
"Saya keluar rumah awal supaya sempat mengundi sebelum masuk kerja. Selepas selesai mengundi, saya akan terus ke tempat kerja di Singapura.
"Majikan turut memberikan kelonggaran kepada saya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sri Sangkar bekerja di Singapura sejak berusia 26 tahun dan berulang-alik setiap hari dari Gelang Patah demi mencari rezeki.
Dia turut menggesa rakyat Johor supaya keluar mengundi kerana setiap undi amat berharga.
"Saya harap rakyat Johor yang lain juga keluar menunaikan tanggungjawab.
"Setiap undi itu berharga. Ini untuk masa depan anak dan cucu kita," katanya.